Skip to main
Logo Malaysiakini

MPKB sahkan bangunan SMK Sering tiada sijil perakuan siap

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) mengesahkan bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sering di Kota Bharu tiada sijil perakuan kelayakan menduduki atau sijil perakuan siap dan pematuhan (CCC).

Yang dipertuanya, Mohd Anis Hussein mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini semalam.

Malah Mohd Anis berkata pihaknya juga mendapati sekolah berkenaan tiada pelan bangunan.

”Mengikut semakan kita tiada rekod berkaitan SMK Sering.

“Pelan bangunan pun tiada sebenarnya,” katanya.

Semalam Malaysiakini melaporkan aduan Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK (PIBG) Sering yang menyuarakan kebimbangan berhubung status bangunan sekolah yang tidak mempunyai CCC.

Yang dipertuanya Sukri Mamat, berkata pihaknya mendengar rungutan dan kebimbangan disuarakan ibu bapa berkenaan aspek keselamatan anak-anak mereka di sekolah dan berharap ia dapat diselesaikan.

Menurutnya, pihak PIBG juga sudah mengemukakan permasalahan itu kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan namun tiada tindakan susulan diambil setakat ini.

"Justeru saya juga mengemukakan aduan melalui surat kepada menteri pendidikan bertarikh 23 Jan lalu dan masih menanti sebarang perkembangan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia berhubung perkara ini,” katanya.

Sementara itu Mohd Anis berkata pihaknya menyarankan agar pihak sekolah menghantar pelan bangunan untuk tindakan susulan.

“Seeloknya pihak sekolah hantar pelan bangunan kepada MPKB-BRI untuk kita proses,” jelasnya.