Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes bunuh CEO Cradle Fund: Isteri, dua remaja kekal bebas

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan membebaskan Samirah Muzaffar dan dua anak lelakinya daripada pertuduhan membunuh CEO Cradle Fund Nazrin Hassan, enam tahun lepas.

Panel tiga hakim, yang dipengerusikan Vazeer Alam Mydin Meera, hari ini sebulat suara menolak rayuan pendakwaan agar tiga individu itu diarahkan membela diri dalam kes itu.

Vazeer berkata pendakwaan gagal membuktikan kes tersebut kerana keterangan yang diberikan berdasarkan keadaan dan ada bukti balas yang menunjukkan si mati dan dua remaja lelaki itu memiliki hubungan yang baik.

Membacakan penghakiman, Vazeer berkata pendakwan tidak boleh bergantung kepada teori "dilihat kali terakhir" untuk menunjukkan tertuduh bersalah.

"Kita tidak melihat bukti berkaitan motif tiga responden untuk membunuh si mati.

"Dakwaan (yang dibangkitkan pihak pendakwaan) berkenaan motif kewangan, (dakwaan) percubaan untuk menceraikan Samirah, dan dakwaan hubungan yang tidak baik juga tidak jelas dan kabur," katanya.

Katanya lagi, untuk bersandarkan pada motif, ia mesti dibuktikan dengan baik dengan bukti yang jelas dan tidak boleh "kabur".

"Bertentangan dengan (hujah) pendakwaan, ada keterangan daripada pemandu dan pembantu peribadi si mati berhubung hubungan yang baik antara si mati dengan Samirah," katanya lagi.

Dia berkata panel hakim mendapati tiada niat bersama antara tiga responden serta bekas pembantu rumah mereka untuk membunuh Nazrin.

Menurut Vazeer, sementara pihak berkuasa mendakwa bekas pembantu rumah masih bebas, dia pada satu ketika berada di Kuching, Sarawak namun polis tidak pernah bertindak untuk menahannya.

Bagaimanapun, panel hakim memutuskan mahkamah sebelum ini khilaf dalam mendapati kebakaran dicetuskan secara sengaja di tempat Nazrin ditemui mati.

Pada 21 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Samirah dan dua remaja tersebut - yang merupakan anak tiri Nazrin - selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes.

Hakim Ab Karim Ab Rahman memutuskan keadaan pada masa tersebut tidak menunjukkan kelakuan tertuduh mendatangkan kecederaan yang menyebabkan kematian mangsa.

Ab Karim juga berkata pendakwaan gagal membuktikan berlakunya pembunuhan pada masa yang didakwa dalam pertuduhan.

Samirah serta dua remaja lelaki itu dan seorang warga Indonesia yang sebelum ini menjadi pembantu rumah mereka, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Perbicaraan bermula pada 6 September 2019 dan pendakwaan menutup kesnya pada 14 Februari tahun lalu selepas memanggil 57 saksi.

[Baca berita asal]