Skip to main
Logo Malaysiakini

Demo dengan Bersih? Kena bincang dulu, kata Hamzah

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata gabungan itu perlu berbincang dengan Bersih terlebih dulu sebelum setuju untuk bersama-sama mengadakan demonstrasi membantah pengurangan hukuman terhadap Najib Razak.

Menurut Hamzah, kedua-dua pihak perlu sepakat mengenai matlamat untuk mengadakan perhimpunan.

"Kena duduk dulu, bincang apa isu yang hendak diperjuangkan bersama.

"Ada perkara kita kena setuju baru boleh kerjasama, tak boleh jemput macam itu saja," katanya ketika sidang media selepas mesyuarat bersama ketua-ketua jawatankuasa portfolio Dewan Rakyat PN di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, kata Hamzah, perlu difahami bahawa PN adalah gabungan parti politik berbeza dengan Bersih.

Katanya, terdapat beberapa perkara perlu diikuti seperti polisi dan perlembagaan parti dan isu yang ingin dibawa perlu selari dengan hala tuju parti.

Namun, katanya, jika Bersih boleh berkompromi dengan perkara tertentu mungkin kerjasama itu boleh diadakan.

"Tak boleh letak semua isu dalam satu isu saja, anda perlu faham, kami semua ahli (parti) politik, Bersih tiada parti.

"Jika ada perkara yang mereka benarkan kami bawa dan bersetuju untuk tidak setuju (agree to disagree) terhadap beberapa perkara, barulah kita boleh buat kerjasama," katanya lagi.

Pada mesyuarat tersebut PN turut mengumumkan kabinet bayangan menjelang sidang parlimen yang akan berlangsung hujung Feb ini.