Skip to main
Logo Malaysiakini

IGP: Reputasi polis rosak ekoran anggota langgar tatatertib

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Pelanggaran tatatertib melibatkan pegawai dan anggota polis yang berlaku baru-baru ini telah menconteng arang selain merosakkan reputasi serta mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Razarudin berkata sebagai warga PDRM yang memegang amanah, tindakan tegas perlu diambil oleh segenap lapisan untuk mengelak insiden sedemikian daripada berulang.

“Sekali lagi saya mengulangi peringatan kepada diri saya dan para penyelia di semua peringkat untuk bertanggungjawab dalam mengawal selia pegawai serta anggota masing-masing daripada semua sudut.

“PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana Pegawai Penyelia yang didapati gagal dalam penyeliaan seperti yang termaktub dalam Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.

Razarudin berkata demikian semasa perhimpunan bulanan Ketua Polis Negara bagi bulan Februari 2024 anjuran Jabatan Pengurusan di Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 2 Feb lepas, Razarudin dilapor berkata semua Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah diminta untuk memperkasakan Peraturan 3C bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Sementara itu, sebanyak RM31.44 juta telah diperuntukkan bagi tahun 2024 bagi pelaksanaan latihan untuk warga PDRM berbanding RM22.09 juta pada tahun lepas.

Dia berkata sebanyak 1,968 kursus, Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) dan bengkel dirancang bagi tahun ini berbanding 1,871 kursus, LDP serta bengkel yang telah dilaksanakan tahun lepas.

“Peningkatan ini jelas menunjukkan bahawa PDRM serius dalam usaha meningkatkan tahap kompetensi sumber manusia,” katanya.

-Bernama