Skip to main
Logo Malaysiakini

Mekar diaspora JPN di Saudi urus 240 perkhidmatan buat rakyat M'sia

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Diaspora Arab Saudi yang berlangsung dari 1 hingga 6 Feb lepas berjaya menguruskan 240 perkhidmatan dan nasihat berkaitan hal ehwal pendaftaran negara kepada 135 rakyat Malaysia yang menetap di negara itu.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata antara perkhidmatan dan nasihat yang ditawarkan ialah pembaharuan kad pengenalan, cabutan sijil lahir serta permohonan kewarganegaraan.

"Program Mekar Diaspora akan terus ditambah baik dan dilaksana di lokasi  lain di seluruh dunia bagi memberikan khidmat melangkaui kebiasaan kepada rakyat Malaysia," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Program anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu diadakan sempena lawatan rasmi Saifuddin Nasution ke Arab Saudi iaitu Mekar Diaspora, antara lima kategori Program Mekar JPN yang menawarkan perkhidmatan dan nasihat berkaitan hal ehwal pendaftaran negara khusus bagi rakyat Malaysia di luar negara.

Beliau juga berkata peluasan program itu di luar negara melengkapi aspirasi Kerajaan Perpaduan yang sentiasa meletakkan keutamaan tertinggi terhadap kebajikan dan kemakmuran rakyat Malaysia yang tidak hanya terhad dalam negara.

"Ini termasuklah perihal pendaftaran negara yang merupakan asas kepada kemenjadian seorang rakyat Malaysia," katanya.

- Bernama