Bomba periksa 37 tokong sekitar KL sempena Tahun Baru Cina
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur telah melakukan pemeriksaan terhadap 37 tokong di sekitar ibu kota sempena Tahun Baru Cina esok.
Pengarah JBPM Kuala Lumpur Muhammad Salleh Abdul berkata pemeriksaan dijalankan mulai 2 Feb lepas sehingga semalam, sejajar dengan pelancaran program kempen kesedaran keselamatan kebakaran sempena Tahun Baharu Cina.
“Sepanjang pemeriksaan di tokong sekitar Kuala Lumpur, JBPM berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan pihak pengurusan dalam menghadapi situasi kebakaran,” katanya dalam sidang media selepas melakukan pemeriksaan di Tokong Thean Hou di Kuala Lumpur, hari ini.
Selain itu, Muhammad Salleh berkata dalam pemeriksaan berkenaan, pihaknya turut menyerahkan 37 alat pemadam kebakaran selain menjalankan taklimat keselamatan kebakaran kepada pihak pengurusan dan pengunjung.
Dia berkata kesemua rumah ibadat yang diperiksa mempunyai alat pemadam kebakaran serta sistem salur bantu mula yang sesuai untuk digunakan ketika awal kebakaran, sementara menunggu kehadiran pihak bomba.
Muhammad Salleh berkata pihaknya juga akan menempatkan jentera dan pasukan penyelamat di lokasi tertentu sebagai persediaan bagi menghadapi kecemasan akibat bunga api malam ini.
“Setakat hari ini hanya Tokong Thean Hou yang telah mendapat permit untuk pertunjukan bunga api pada malam ini dan kita akan tempatkan sebuah jentera dan anggota sebagai persediaan,” katanya.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai