Skip to main
Logo Malaysiakini

Mujahid jawab Muhyiddin: Perlakuan tetap salah, undang-undang persekutuan ada

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof menyangkal kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin bahawa sejumlah perbuatan yang bertentangan dengan Islam tidak lagi menjadi kesalahan di Kelantan, susulan pembatalan 16 peruntukan dalam enakmen jenayah syariah di negeri itu.

Bekas menteri di jabatan perdana menteri (hal ehwal agama) itu berkata ini kerana undang-undang bagi menangani kesalahan berkenaan sudah ada di peringkat persekutuan.

"Apakah undang-undang itu terus hilang? Jawapannya (undang-undang itu) ada, tapi di peringkat persekutuan.

"Orang Islam di Kelantan jika didapati bersalah boleh dihukum kerana mereka juga tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

"Apabila undang-undang (dalam enakmen) terbatal, itu tandanya ia sudah wujud di peringkat persekutuan...lebih berat hukumannya," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam hantaran di Facebook kelmarin, Muhyiddin mendakwa keputusan Mahkamah Persekutuan itu bermakna "perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam seperti menawarkan perkhidmatan maksiat, berkhalwat, sumbang mahram dan minum arak tidak lagi menjadi suatu kesalahan bagi umat Islam di negeri Kelantan."

Dia juga berkata jika ada mana-mana pihak yang mencabar kedudukan undang-undang syariah di negeri lain, ia juga akan diisytiharkan sebagai tidak sah berdasarkan duluan yang telah ditetapkan mahkamah.

Antara peruntukan yang dibatalkan dalam keputusan itu ialah mengenai pemusnahan dan mencemarkan tempat ibadat (Seksyen 11), liwat (Seksyen 14), persetubuhan dengan mayat (Seksyen 16), persetubuhan dengan bukan manusia (Seksyen 17), dan gangguan seksual (Seksyen 31).

Kesalahan jenayah syariah lain yang turut dibatalkan ialah memiliki dokumen palsu dan memberi maklumat palsu (Seksyen 34), mabuk (Seksyen 36), persediaan untuk melakukan maksiat (Seksyen 45) dan penyalahgunaan label halal (Seksyen 42).


BACA BERKAITAN: Ringkasan penghakiman Mahkamah Persekutuan kes Nik Elin


Mengulas lanjut, Mujahid berkata ketika dirinya menjadi menteri yang bertanggungjawab atas hal ehwal agama, dia telah menggerakkan penubuhan jawatankuasa sivil dan syarak kerana menjangkakan isu pertindihan kuasa seumpama itu akan timbul.

"Ada negeri hukuman berbeza walau jenayah sama (maka) saya perkemas dengan menyeragamkan undang-undang syariah di semua negeri.

"Jawatankuasa ini juga akan semak peruntukan mana yang bercanggah (dengan persekutuan) serta saya masukkan keadah pemulihan selain hukuman sebat, denda dan penjara," katanya lagi.

Bagaimanapun, Mujahid sewaktu wawancara bersama Malaysiakini pada Disember lalu berkata usaha menyelaraskan peruntukan undang-undang bagi semua negeri itu tergendala apabila kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad tumbang.


BACA BERKAITAN: Perkasa undang-undang syariah, Mujahid harap PAS didik penyokong


Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata PAS perlu jujur dalam isu tersebut, dengan membangkitkan istilah "black friday" yang dikongsikan di media sosial susulan keputusan Mahkamah Persekutuan.

'Cubaan gerakkan fitnah'

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan juga menyifatkan Jumaat lalu - iaitu hari mahkamah menyatakan keputusannya - sebagai "Jumaat yang hitam kepada syariah Islam".

Kamil berkata keputusan itu tidak mencabar undang-undang syariah, sebaliknya berkenaan bidang kuasa DUN Kelantan dalam menggubal undang-undang.

"Ini yang sengaja gagal difahami oleh pimpinan PAS...Kempen #blackfriday yang dimainkan ini tidak lebih sekadar cubaan menggerakkan fitnah yang sedang tidur.

"PAS sombong dan enggan mengakui kelemahan, tetapi menggunakan naratif 'Islam terancam' dan menunggang sentimen bagi menutup kelemahan mereka," katanya lagi.