KOMENTAR | Mengukuhkan legasi atau menegakkan demokrasi?
KOMENTAR | Debat pusingan akhir calon presiden Indonesia sempena pemilihan umum (pemilu) sudah selesai. Tanggal 14 Feb nanti menjadi penentuan siapa akan menggantikan pasangan Joko Widodo (Jokowi) dan Ma'ruf Amin mengetuai negara itu.
Tema utama pemilu kali ini berkisar tentang Jokowi dan masa depan Indonesia. Populariti Jokowi memang cukup luar biasa.
Kebanyakan kaji selidik mendapati 79 hingga 82 peratus rakyatnya amat berpuas hati dengan bekas gabenor Jakarta itu sehingga dia mencatat rating tertinggi pernah diterima mana-mana presiden Indonesia.
Walaupun banyak kaji selidik menunjukkan lebih 70 peratus responden mengakui kehidupan mereka tidak berubah, kebanyakannya masih memilih Jokowi sebagai presiden yang dipercayai.
Kini persoalan rakyat ialah: Siapa paling cocok meneruskan legasi Jokowi?
Situasi ini menyulitkan ahli dan parti politik yang bertanding kerana mereka perlu menyatakan sokongan kepada gagasan Jokowi dalam setiap kempen demi mendapat keyakinan rakyat.
Kalau dilihat debat ketiga-tiga calon presiden, hala tuju negara dan dasar pembangunan diasaskan Jokowi dipolemikkan dengan begitu rancak. Cuma, ada satu atau dua perkara yang mengkritik Jokowi atas sikap tidak neutralnya dalam kempen kali ini.
Cetus kemelut baru
Atas populariti yang tinggi, Jokowi dilihat mempunyai pengaruh yang luas dalam merencanakan pemilu. Ada yang menyebut, jika boleh Jokowi mahu pemilihan presiden tidak dibawa sehingga ke pusingan kedua.
Alasannya, dia mahu mengelak politik yang berpanjangan sehingga menyukarkan presiden serta naib presiden memberi fokus kepada kerja-kerja pembangunan Indonesia.
Jokowi pada awalnya mahu menteri pertahanannya, Prabowo Subianto, dan Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo, yang didukung Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) bergabung sebagai calon presiden dan naib presiden.
Di mata Jokowi, gandingan Prabowo - Ganjar paling sesuai untuk meneruskan legasinya. Tetapi, gabungan berkenaan gagal mencapai kata sepakat.
Dalam kelam itu, pada 2 Sept 2023, Gabenor Jakarta Anies Baswedan, mencalonkan diri dan berpasangan dengan Muhaimin Iskandar yang merupakan timbalan speaker parlimen.
Kemunculan Datuk Bandar Solo, Gibran Rakabuming Raka - yang juga anak sulung Jokowi - untuk bergandingan dengan Prabowo mencetuskan kemelut baru politik Indonesia.
Penyertaan Gibran didakwa sebagai perancangan Jokowi bagi mengekalkan legasinya setelah dia berundur dari Istana Presiden di tengah Jakarta.
Namun, cerita pihak Prabowo sedikit berbeza. Mereka mendakwa Gibran dipilih atas persetujuan tujuh parti gabungan (dipanggil Indonesia Emas) sebagai simbol jaminan legasi Jokowi akan diteruskan.
Mahkamah Perlembagaan pula membenarkan Gibran bertanding meskipun dia belum mencapai usia 40 tahun. Ia sekadar mengundang lebih banyak kritikan daripada gerakan massa.
Mahkamah berpendapat seseorang yang berusia bawah 40 tahun boleh bertanding sebagai naib presiden dengan syarat pernah atau sedang berkhidmat di mana-mana wilayah Indonesia.
Pasukan Prabowo - Gibran membawa naratif bahawa perubahan dibawa mereka bakal memberi impak positif kerana orang muda berpeluang bertanding jawatan tertinggi.
Sebaliknya, pihak lawan dan gerakan sivil melihat ia adalah sebahagian daripada amalan KKN (korupsi, kronisme, dan nepotisme) sedang dibawa Jokowi.
Jatuh bangun demokrasi Indonesia
Persoalannya pihak yang menentang cukup mudah. Jika anak petani yang dicalonkan sebagai presiden atau naib presiden seperti dilakukan Gibran, adakah mahkamah akan membenarkannya?
Mereka beranggapan mahkamah tidak akan memihak kepada anak petani terbabit kerana dia bukan anak Jokowi.
Gibran didakwa dapat menarik sokongan anak muda GenZ (generasi Z). Populariti di media sosial, khususnya Tik Tok, telah melenyapkan segala kelemahannya.
Kempen joget Prabowo pula seperti melenyapkan segala kisah zaman gelapnya sewaktu era Reformasi dan Order Baru. Fokus Gen Z Indonesia adalah masa depan Indonesia, bukan membuka semula buku lama.
Namun, keghairahan meneruskan legasi Jokowi tidak mudah diterima pihak yang pernah melalui jatuh bangun demokrasi Indonesia. Keputusan memilih pemimpin yang banyak melakukan kesilapan lalu - seperti Prabowo - hanya akan mengulangi sejarah buruk bangsa itu pada era order baru.
Bagi mereka, demokrasi tidak boleh dijadikan mangsa kepada ahli politik yang bersungguh-sungguh mengejar pembangunan. Keputusan bangsa dan negara perlu disepakati setiap rakyat, dan bukan hak milik personaliti yang datang dan pergi.
Suara-suara hak asasi dan adil itu cukup lantang disuarakan dua lagi pasangan calon iaitu Anies-Muhaimin, dan Ganjar - Mahfud MD.
Namun, dalam keadaan begitu pun, kedua-dua regu terbabit masih bergelut untuk menandingi populariti Prabowo-Gibran. Kedua-duanya sedang berusaha untuk masuk ke pusingan kedua bagi menewaskan Prabowo - Gibran.
Pemilu kali ini menunjukkan Indonesia sedang dihambat masa untuk mengejar pembangunan yang diaspirasikan Jokowi. Tetapi, persoalan timbul tentang komitmen untuk memastikan lantai demokrasi tidak retak dan undang-undang ditegakkan secara adil.
Apa yang lebih penting, mana-mana calon yang dipilih menjadi presiden dan naib presiden Indonesia mempunyai tugas yang berat untuk menegakkan undang-undang yang kepada semua rakyat, selain meneruskan usaha membina kemajuan ekonomi Indonesia yang kini mengejar pembangunan.
FAKHRURRAZI RASHID ialah pembaca Malaysiakini yang gemar mengikuti perkembangan isu politik negara.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai