Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah benarkan penulis cabar pengharaman 'When I Was A Kid 3'

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Penulis Cheeming Boey mendapat kebenaran mahkamah untuk meneruskan permohonannya bagi membatalkan keputusan Kementerian Dalam Negeri mengharamkan novel grafik kontroversinya, “When I Was A Kid 3”.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkannya pada 12 Disember tahun lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, seorang wakil firma guaman Messrs Clinton Tan mengesahkan keputusan itu yang dibuat pada 31 Januari lalu.

Pada 27 Jun tahun lalu, sejumlah warga Indonesia berhimpun di luar Kedutaan Malaysia di Jakarta bagi membantah pencetakan dan penjualan buku tersebut atas dakwaan kandungannya menghina pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Susulan bantahan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 25 September tahun lalu mewartakan larangan terhadap karya itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menurut KDN, buku itu diharamkan kerana memudaratkan moral, kepentingan awam dan kepentingan negara dengan menimbulkan kebimbangan serta kegelisahan dalam kalangan masyarakat.

Pada tahun lalu, Boey, 45, membuat permohonan maaf atas kandungan buku tersebut dan berkata dia tidak berniat menyinggung mana-mana pihak.

Warga Malaysia yang lahir di Singapura dan tinggal di Amerika Syarikat itu juga dilaporkan berkata, dia percaya pengharaman tersebut dibuat selepas bantahan oleh warga Indonesia dan ia tercetus daripada salah faham.

Menurut salinan afidavit sokongan yang dilihat Malaysiakini, Boey berkata buku itu diterbitkan pada 1 Januari 2014, sembilan tahun sebelum pengharamannya.

"Setakat pengetahuan saya, sehingga Jun 2023, saya mahupun penerbit tidak menerima dan/atau dimaklumkan berkenaan apa-apa rungutan berkenaan kandungan penerbitan atau mana-mana bahagian penerbitan sebagai menyinggung (offensive) oleh mana-mana segmen masyarakat.

"Maka saya terkejut apabila pada 26 Jun 2023, apabila seorang netizen maklumkan saya tentang satu hantaran media sosial, bahawa ada demonstrasi di depan Kedutaan Malaysia di Jakarta, Indonesia, berkenaan penerbitan saya.

"Sebelum itu, saya tidak dimaklumkan oleh pihak berkuasa mahupun diberitahu berkenaan mana-mana kandungan yang mengundang kemarahan orang Indonesia," kata Boey.

Boey juga mendakwa dia tidak dimaklumkan berkenaan pengharaman atau diberikan surat tunjuk sebab agar dia boleh memberi penjelasan berkenaan dakwaan berkaitan karyanya.

Ancaman, kerugian

Boey juga berkata dia mengalami kerugian dari segi kewangan selepas pengharaman buku tersebut, yang menyebabkan ia ditarik balik dari keda-kedai buku di Malaysia pada tahun lalu.

"Dalam tempoh itu, saya menghadapi serangan peribadi dan ancaman berbahaya terhadap saya dan juga keluarga.

"Beberapa pempengaruh dari Indonesia juga menyunting buku saya agar hanya menunjukkan empat bingkai pertama komik tersebut demi agenda mereka.

"Saluran berita juga tidak menunjukkan komik saya secara penuh, hanya empat bingkai pertama," katanya.

Sedangkan, katanya lagi, permohonan maafnya ada dimuatkan sebaik selepas empat bingkai tersebut.

Selain menuntut perintah certiorari untuk membatalkan pengharaman itu, Boey juga menuntut ganti rugi daripada pengharaman tersebut.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara yang mewakili menteri dalam negeri sebagai responden dalam semakan kehakiman itu.

[Baca berita asal]