Skip to main
Logo Malaysiakini

MP Gua Musang akui projek empangan beri kesan Orang Asli tapi...

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim mengakui projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri memberi kesan kepada aktiviti harian terhadap kira-kira 1,200 penduduk Orang Asli dari tiga perkampungan kawasan itu.

Bagaimanapun katanya, kajian pakar telah pun dibuat merangkumi kajian impak alam sekitar, kajian impak sosial, kajian impak warisan dan kajian potensi mineral.

Mengambil kira semua itu kerajaan telah merancang satu perkampungan baru yang lebih tersusun kepada masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.

"Sebenarnya, sebelum perlaksanaan projek ini, pakar-pakar telah pun membuat kajian awal yang tersusun dan terancang merangkumi kajian impak alam sekitar, kajian impak sosial, kajian impak warisan dan kajian potensi mineral.

Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim.

"Memang tidak dapat saya nafikan bahawa pembinaan projek berskala besar ini yang mana ianya merangkumi hampir 55 kilometer persegi tersebut secara langsung memberi kesan kepada aktiviti harian lebih kurang 1,200 penduduk Orang Asli dari tiga perkampungan iaitu di Pos Pulat, Pos Tohoi dan Kampung Kuala Wias.

"Tetapi kerajaan persekutuan dan negeri serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah pun membuat tindakan proaktif dengan membentuk perkampungan baru yang lebih tersusun dan lebih menjamin keselesaan kepada setiap isi rumah Orang Asli di tiga perkampungan tersebut," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan lebih 3,000 Orang Asli Gua Musang di Kelantan tekad untuk meneruskan perjuangan menentang projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri yang telah mendapat kelulusan beberapa tahun lalu.

Penduduk Orang Asli berkata projek itu akan menyebabkan kemusnahan terhadap sumber pendapatan mereka serta tautan budaya dan warisan yang tidak boleh ditukar ganti.

Wakil masyarakat itu, Mustafa Along berkata walaupun projek berkenaan tidak akan membawa kemusnahan secara langsung kepada banyak kampung di situ, kawasan bercucuk tanam, ritual dan kubur nenek moyang mereka akan musnah.

"Apabila empangan dibina, ia akan menyekat jalan utama dan kami tiada pilihan selain membuat perjalanan lebih jauh untuk ke pekan terdekat.

"Pada masa ini, perjalanan mengambil masa kira-kira lima jam dan ia akan berganda apabila empangan menyekat jalan utama itu.

"Kami perlu belanja lebih untuk bahan api dan logistik," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Mohd Azizi yang juga Adun Nenggiri menyeru masyarat Orang Asli supaya bersama dalam pembangunan itu kerana ia memberi impak besar kepada ekonomi dan masyarakat.

"Projek Empangan Hidro Elektrik Nenggiri sebenarnya satu projek yang banyak memberi manfaat kepada ekonomi negara dan paling penting projek ini akan mengurangkan fenomena banjir besar yang selalu terjadi akibat limpahan air Sungai Nenggiri setiap kali musim tengkujuh.

"Oleh yang demikian, sebagai ahli parlimen dan Adun Nenggiri, saya dengan rendah diri memohon maaf dan menyeru kepada semua masyarakat Orang Asli di perkampungan terlibat agar kita sama-sama berkolaborasi dan kita mengambil manfaat positif di atas pembinaan projek ini demi kesejahteraan dan pembangunan serta peluang pekerjaan masyarakat kita di Gua Musang," katanya lagi.

Untuk rekod, pada Ogos 2022 menteri tenaga dan sumber asli ketika itu Takiyuddin Hassan memberitahu parlimen kerajaan memperuntukkan pampasan sebanyak RM216 juta untuk masyarakat Orang Asli yang terjejas berikutan pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Kelantan.

Takiyuddin berkata peruntukan itu melibatkan tapak seluas 0.5 ekar untuk seramai 767 orang daripada 1115 Orang Asli di ketiga-tiga perkampungan yang terlibat dalam projek itu.

Tiga perkampungan tersebut merupakan Kampung Kuala Wias, Pos Pulat dan Pos Tohoi.

Bagaimanapun tidak jelas jika pampasan yang dijanjikan telah diagihkan kepada masyarakat terjejas.