Skip to main
Logo Malaysiakini

LHDN pantau individu simpan wang luar negara, pastikan bayar cukai

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memantau maklumat individu yang menyimpan wang di luar negara dan memastikan mereka membayar cukai.

CEO LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata penelitian tersebut dibuat berdasarkan maklumat diterima secara berkala daripada pihak berkuasa cukai seluruh dunia.

"Semakan dan risikan akan dilaksanakan bagi memastikan cukai telah dibayar terhadap simpanan yang berada di luar negara sekiranya simpanan tersebut berpunca atau hasil daripada aktiviti di dalam negara.

"Jika ada indikasi ketidakpatuhan cukai kes akan disalurkan kepada pasukan audit dan siasatan untuk tindakan lanjut," katanya ketika berucap pada program Sesi Libat Urus LHDN Bersama Media di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Abu Tariq berkata pihaknya juga akan menyemak akaun luar negara serta aset individu berkenaan dalam negara sebelum membuat perbandingan dengan pengisytiharan cukai.

"Jadi, kalau ia macam tidak setimpal dengan aset dan pendedahan, kita akan buat semakan lanjut untuk perkara-perkara tersebut.

"Kita akan semak sama ada simpanan yang mereka ada itu telah dibayar cukai. Kalau ia berpunca dari Malaysia dan belum dibayar cukai, kita ada sebab untuk buat semakan lanjut untuk pastikan bahawa simpanan tersebut sepatutnya telah dibayar cukai," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abu Tariq berkata sebanyak 64,748 kes pengakuan sukarela dengan jumlah taksiran atau duti bernilai RM573.476 juta melibatkan pembayar cukai baru dan sedia ada menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 setakat 31 Jan lepas.

Katanya, program yang diperkenalkan pada 1 Jun 2023 itu bakal berakhir pada 31 Mei depan.

"Pembayar cukai yang menyertai program ini tidak dikenakan penalti, pelaporan mereka akan diterima dengan suci hati dan tiada semakan lanjut dilakukan oleh LHDN untuk laporan pendapatan bayaran cukai yang dibuat," katanya.

Selain itu, Abu Tariq berkata kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan e-Invois secara mandatori bagi pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta mulai 1 Ogos 2024 diikuti oleh pembayar cukai RM75 juta ke atas bermula 1 Jan 2025 dan yang lainnya pada 1 Jun 2025.

"Pelaksanaan secara berperingkat ini dapat pembayar cukai meningkatkan kecekapan dan melancarkan operasi perniagaan dan serta tahap pematuhan pembayar cukai, mengurangkan proses manual dan kesilapan, dan memudahkan urusan pelaporan percukaian," katanya.

-Bernama