Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Pemikiran songsang ada di mana-mana

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

KOMENTAR | Entah kenapa sejak beberapa bulan lalu saya terkenang puisi Songsang karya penyair dan pelukis terkenal, A Latiff Mohidin.

Karya yang dicipta di Kota Bharu pada 1976  itu pada awalnya saya gelakkan kerana ia didedikasikan kepada insan bernama Tok Awang yang sinonim dengan ibu negeri Kelantan.

Generasi sezaman saya mengenal Tok Awang  yang berlegar di Kota Bharu sejak dekad 1960-an sehingga awal 1980-an.

Lelaki itu dikatakan kurang siuman dan selalu berada di pasar besar dan hentian bas hampir setiap hari. Dia berceloteh tentang kemerdekaan dan nasib marhaen.

Tok Awang menempelak nikmat kemerdekaan kerana ramai yang ketinggalan peluang  ekonomi dan nikmat kehidupan. Mungkin keadaan itu yang melekatkan namanya sebagai Tok Awe Medeka (Tok Awang Merdeka).

Ada waktunya Tok Awang berceloteh tentang lebai, alim, tok guru dan ustaz yang kononnya pewaris tuhan pada masa sama menjadi penunggang agama. 

Tok Awang berkias tentang ustaz yang buka kain oghe buje (janda) jika diberi peluang.

Tok Awang hanya diam dan menghilangkan diri seketika apabila mendapat sebungkus nasi berlauk atau nasi kerabu.

Maafkan aku
kalau aku sering saja
berlaku songsang

Terutama
di perayaan tahun
seperti hari ini

Apabila semua orang
telah sedia duduk
aku bangun berdiri

Apabila orang
bangun bertepuk
aku duduk

Apabila orang
ghairah berbincang
aku tidur.

Diksi dan hiperbola sajak Latiff amat kuat. Bentuk dan isinya padu.  Dia bukan sahaja genius puisi, Latiff juga pemikir bangsa yang teliti melihat kerenah Melayu yang sering tersasar dan songsang.

Pemikiran puisi itu relevan sehingga kini apabila banyak yang berlaku ada kaitan dengan mitos Melayu yang kian songsang.

Seminggu dua ini orang bercakap tentang Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid. Beberapa minggu lalu kelibat Hot Daddy diperkatakan. Kedua-dua mereka menjadi watak yang dibicarakan secara terbuka.

Belum pun mahkamah bersidang sudah ada yang mendakwa mereka dengan watak hitam atau putih di media sosial.

Tidak merendahkan martabat

Pemikiran songsang memudahkan hukuman terhadap Nik Elin yang dituduh anti-Islam di media sosial dan ceramah politik. Peguam asal Kelantan itu juga dipersoalkan sebagai cuba menguji kedaulatan Islam di negeri Serambi Makkah.

Malah ada yang menggunakan istilah Black Friday bagi menggambarkan kekecewaan mereka demi kepentingan cita-cita politik.  

Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin dan anaknya hanya menyentuh proviso (syarat dalam sesuatu perjanjian) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan.

Keputusan mahkamah tidak menggugat kedudukan mahupun bidang kuasa mahkamah syariah mengikut konteks Perlembagaan Persekutuan.

Maksudnya Mahkamah Persekutuan langsung tidak menyentuh atau merendahkan martabat mahkamah syariah dan kuasa negeri untuk menggubal enakmen syariah yang membabitkan perihal Islam.

Jika ada yang tidak setuju, mereka boleh mengusulkan pindaan perlembagaan di parlimen dan satu kajian penambahbaikan perlu dilaksanakan berdasarkan keputusan mahkamah.

Jangan tuduh Nik Elin atau Putrajaya bersengkongkol memusnahkan syariat Islam di Kelantan.

Pemikiran songsang menjadikan ada orang mudah menuduh Nik Elin sebagai memperalatkan kepakaran undang-undang untuk menguji fungsi hukum syariah di Kelantan.

Golongan itu juga disentuh dalam puisi Songsang sebagai manusia:

Apabila orang
melepaskan merpati
aku tabur padi

Orang lain
telah merdeka
aku belum

Maafkan aku
kalau aku sering saja
berlaku songsang

Aku hanya
ingin
mengingatkan
.

Memang banyak yang tidak normal berlaku di kiri dan kanan kita.

Seorang gigolo yang sepatutnya dicela bahkan dianggap sebagai ikon sosial.

Hot Daddy yang berdepan dengan pertuduhan di mahkamah dianggap citra generasi muda. Ada yang sanggup bergambar bersama, dan tidak kurang juga reaksi positif daripada gadis bertudung.

Orang tempatan jadi pelanggan

Ada yang tergamak memberi kata-kata perangsang kepada peniaga seks itu supaya tabah menghadapi pertuduhan. Demikianlah rentetan kesongsangan yang sedang berlaku.

Keadaan ini mengingatkan saya kepada segelintir penduduk Kelantan yang berbangga dengan Kota Bharu yang digelar Paris Timur.  

Sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua pada 1945,  istilah dale so kerap disebut.  So bermaksud “show” iaitu tempat hiburan lucah dan melanggan pelacur.

Ramai yang terjebak untuk keseronokan seksual.

Pada awalnya perempuan dari Siam dibawa ke pusat itu untuk menghiburkan warga asing di Kelantan. Akhirnya meluas kepada janda dan gadis tempatan sebagai perempuan penghibur.

Pelanggan juga tidak terikat kepada warga asing. Seks untuk semua bangsa. Ramai orang tempatan yang menjadi pelanggan dale so itu.

Siapa sangka Kelantan yang digelar negeri ulama pernah menjadi pusat pelacuran terkenal sehingga disebut Paris of Malaya.

Pada awal 1950-an, dilaporkan pusat pelacuran Biarritz Park  di Kelantan sangat berleluasa, sehingga ada antara pelacur terbabit dilatih seawal usia 12 tahun.

Sasterawan Negara S Othman Kelantan melakarkan kegiatan pelacuran berkenaan menerusi novel Orang Kota Bharu, yang diterbitkan pada 2003.

Ia menyorot kehidupan seks dan orang agama yang tidak semestinya kontras.

Kota Bharu bukan sahaja Taman Sekebun Bunga, tradisi pondok dan penarik beca, bahkan kehidupan dunia malam yang kontras dengan imej Islam.

Sehingga kini tiada angka rasmi jumlah pelacur di Kelantan. Generasi terdahulu hanya ingat dale so sebagai tempat pelacuran terbesar. 

Kehidupan dan pemikiran songsang  mudah terjadi di mana-mana dan pada sebarang masa.

Orang seperti Hot Daddy dan penunggang agama di mana-mana sahaja.

Karya A Latiff Mohidin mengingatkan:

Apabila semua orang
telah sedia duduk
aku bangun berdiri

Apabila orang
bangun bertepuk
aku duduk…

Adakah perlu persalahkan Nik Elin yang sekadar mahu memperbetulkan kelompangan dalam sistem undang-undang?  


IMLAN ADABI ialah wartawan dan penyair.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.