Skip to main
Logo Malaysiakini

Saman trio DAP pada Siti Mastura didengar 6 hari pada Sept ini

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Mahkamah sudah menetapkan tarikh perbicaraan saman fitnah dikemukakan Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan dua pemimpin kanan parti itu terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad.

Peguam, Sankara Nair, berkata mahkamah mengkhususkan enam hari pada Sept ini untuk mendengar saman dikemukakan Guan Eng, Teresa Kok dan Lim Kit Siang.

Dia yang bertindak mewakili ketiga-tiga mereka berkata, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan saman berkenaan didengar pada 2, 3, 17, 18, 19 dan 20 Sept depan.

"Tarikh pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 15 Mei untuk pihak-pihak yang terlibat mengemas kini status pemfailan dokumen praperbicaraan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Guan Eng merupakan Ahli Parlimen Bagan, manakala Kok kini Ahli Parlimen Seputeh. Kit Siang pula veteran DAP yang pernah menjadi ahli parlimen beberapa kawasan.

Terakhir dia mewakili kerusi parlimen Iskandar Puteri, Johor.

Pada Nov tahun lalu ketiga-tiga mereka memfailkan tindakan sivil terhadap Siti Mastura selepas pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat PAS Pusat itu mendakwa Guan Eng, Kit Siang dan Kok mempunyai pertalian dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Tidak sekadar itu, Siti Mastura turut mengaitkan ketiga-tiga mereka dengan bekas perdana menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew.

Kenyataan itu dibuat Siti Mastura semasa berkempen untuk calon PN bagi Pilihan Raya Kecil Kemaman.

Selain ganti rugi am, Guan Eng, Kit Siang dan Kok turut menuntut pampasan teruk dan menuntut teladan, selain injunksi untuk menghalang defendan daripada terus mengulangi dakwaan tersebut.

Sebelum ini media melaporkan, dalam kenyataan pembelaannya Siti Mastura mendakwa dia membuat dakwaan tersebut berdasarkan "fakta" yang terkandung dalam sebuah buku dikatakannya sebagai sumber boleh dipercayai.

Bagaimanapun dalam jawapan balas, ketiga-tiga plaintif berhujah, sebagai pemegang ijazah kedoktoran (PhD), Siti Mastura sepatutnya menyemak semula maklumat berkenaan.

[Baca berita penuh]