Skip to main
Logo Malaysiakini

Ugut bunuh Nik Elin: Polis terima lima laporan - Saifuddin

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata polis telah menerima lima laporan berkaitan ugutan bunuh terhadap peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid setakat ini.

Katanya, kesemua lima laporan polis itu dibuat di Kuala Lumpur.

"Kita pantau dari Perlis sampailah Sabah, semua yang lain belum, yang ada cuma KL.

"Empat laporan di Sri Hartamas, satu laporan di Jinjang...

"Kalau (laporan) libat ancaman nyawa polis tidak akan pandang enteng," kata menteri itu pada sidang media di Cheras hari ini.

Saifuddin turut menggesa orang ramai menjaga keamanan dan keharmonian, menegaskan pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap mereka yang mengeluarkan ugutan bunuh.

Pada Rabu, Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid (gambar bawah) berkata polis telah membuka tiga kertas siasatan berhubung ugutan yang dibuat terhadap peguam itu, dengan salah satu daripadanya telah pun dilengkapkan.

"Daripada tiga kertas siasatan itu, satu (kertas siasatan) sudah selesai, manakala dua lagi masih dalam tindakan,” kata Allaudeen seperti dipetik Berita Harian.

Tiga laporan polis Nik Elin dibuat selepas dia menerima beberapa ugutan bunuh berhubung cabaran perlembagaannya terhadap peruntukan di bawah undang-undang syariah Kelantan.

Ugutan tersebut termasuklah untuk "sembelih" peguam kelahiran Kelantan itu.

Minggu lalu, panel hakim Mahkamah Persekutuan dengan sembilan hakim dalam keputusan majoriti 8-1 membenarkan petisyen Nik Elin dan anak perempuannya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman untuk membatalkan 18 peruntukan enakmen jenayah syariah Kelantan.

Mahkamah memutuskan bahawa badan perundangan Kelantan melangkaui bidang kuasanya yang terkandung dalam Senarai Negeri (Senarai II) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, mahkamah tertinggi negara hanya membenarkan 16 daripada 18 enakmen itu tidak sah.

Sementara itu, Saifuddin enggan mengulas mengenai sindiran Presiden PAS Abdul Hadi Awang terhadap badan kehakiman Malaysia kerana didakwa dipengaruhi oleh pemikiran penjajah.

"Saya lebih ambil soalan original daripada wartawan berbanding soalan yang memetik sumber lain. Saya hormat wartawan yang ada keupayaan untuk bertanya soalan original...

"Bijaksana 'bijaksini' ini istilah yang tak payah kita masuk politik,” kata Saifuddin.

Abdul Hadi dalam catatan Minda Presiden PAS terbit di Harakahdaily pada 14 Feb lalu menyebut pada masa lalu "ada daripada kalangan para hakim yang bijaksana seperti Almarhum Tun Salleh Abas, Almarhum Tan Sri Harun Hashim dan lain-lain" yang menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menjaga dan mempertahankan syariat Islam.

"Namun demikian, kini muncul kalangan hakim yang ‘bijaksini’ (bukan bijaksana) yang kepala dan akalnya dipengaruhi oleh tulisan warisan penjajah," kata Abdul Hadi lagi tanpa merujuk kepada mana-mana kes atau memberi konteks terhadap komentar tersebut.