Skip to main
Logo Malaysiakini

PM 'alih' misi basmi kemiskinan tegar pada institusi zakat - Bersatu

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Bersatu mempertikaikan penegasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa institusi zakat mesti memikul tanggungjawab menyelesaikan masalah asas berkaitan kemiskinan tegar di negara ini.

Ketua Penerangannya, Razali Idris berkata kenyataan ini bermaksud Anwar 'mengalihkan' misi untuk menoktahkan kemiskinan tegar terhadap institusi zakat sedangkan sebelum ini ia menjadi agenda utama perdana menteri.

"Sudah lebih setahun, tiba-tiba PMX hari ini melaung-laungkan bahawa institusi zakat mesti memikul tanggungjawab menyelesaikan masalah asas berkaitan kemiskinan tegar di negara ini.

"Sudah terbalik misi itu? Soalnya sekarang siapa yang beria-ria hendak menamatkan kemelut isu kemiskinan tegar sebaik menjawat jawatan PMX?

"Sudah tidak ada cahaya lagi ke untuk mengambil ikhtiar membasmi miskin tegar sehingga mula mengalih tumpuan rakyat bahawa institusi zakat pula yang bertanggungjawab menitiknoktahkan miskin tegar," kata Razali pada satu kenyataan hari ini.

Terdahulu hari ini, perdana menteri berkata setiap kutipan atas nama zakat mesti dibelanjakan secara bertanggungjawab dengan keutamaan adalah untuk menyelesaikan kemiskinan dalam kalangan rakyat.

Jelas Anwar, pengurusan zakat tidak boleh diambil mudah, sebaliknya memerlukan tata kelola yang baik untuk menyelesaikan masalah kemiskinan khususnya melibatkan umat Islam.

"Sebab itu kalau tanya saya dalam bicara soal zakat di negeri-negeri, walaupun ia bidang kuasa negeri, saya tidak boleh menerima kenyataan negeri yang boleh mengumpul dana zakat yang besar, tetapi masih ada kelompok miskin tegar.

“.. saya hendak zakat itu dimanfaatkan sepenuhnya," kata perdana menteri semasa berucap pada Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang 2024 di Universiti Sains Malaysia (USM) di George Town, hari ini.

Dalam pada itu, Razali berkata Anwar perlu mengotakan janjinya untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.

"Orang kalau berjanji, kena nampak kerja-kerja kebaikan itu, bukannya gagal menunaikannya kerana institusi zakat ada peranan dan fungsi yang berterusan.

"PMX juga ada mengatakan usaha membasmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan sudah mencapai status 100 peratus.

"Apakah benar keadaan itu," soal Razali.