Skip to main
Logo Malaysiakini

Laporan awal nahas pesawat siap dalam 30 hari - MOT

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Laporan awal siasatan pesawat terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Selangor pada Selasa lepas, akan disediakan dalam masa 30 hari daripada tarikh kemalangan udara itu berlaku.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan memaklumkan laporan itu akan diikuti dengan laporan penuh yang dijangka siap selewat-lewatnya 12 bulan dari tarikh insiden yang meragut dua nyawa itu.

“Penyiasatan akan diteruskan untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa dan mengelakkan berlaku kemalangan yang sama di masa hadapan,” menurut MOT.

Kenyataan itu memaklumkan siasatan teknikal berdasarkan Annex 13 – Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13), telah dimulakan oleh pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) bermula tarikh kejadian kemalangan udara tersebut.

“Berdasarkan siasatan awal, pesawat yang memiliki tanda pendaftaran I-POOC adalah milik Blackshape S.p.A, yang merupakan syarikat Itali. Sky Media Ltd yang merupakan syarikat Hong Kong pula bertindak sebagai pengedar pesawat bagi pihak Blackshape S.p.A untuk rantau Asia Tenggara.

“Sky Media Ltd telah melantik Aviation Safety Technology Pte Ltd (AST), sebuah syarikat Singapura, untuk perkhidmatan pemasaran bagi pesawat Gabriel BK160TR. AST telah melantik juruterbang yang terlibat dalam kemalangan ini untuk mengendalikan pesawat Gabriel BK160TR (pendaftaran IPOOC) bagi tujuan promosi kepada pelanggan di Malaysia,” menurut kenyataan kementerian itu.

Menurut MOT pada waktu kemalangan berlaku, pesawat Gabriel BK160TR itu mempunyai pensijilan kelayakan terbang yang sah di bawah Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA).

Dalam insiden pada 1.45 tengah hari itu, juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan pembantu juruterbang Roshaan Singh Raina, 43, maut dengan kedua-dua mangsa dipercayai terbenam bersama bahagian kokpit pesawat di kawasan ladang kelapa sawit.

Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 1.28 tengah hari untuk penerbangan rekreasi.

- Bernama