Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | PAS perlu akur dengan sistem demokrasi berparlimen

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Semua parti politik hatta parti Islam yang bersetuju untuk turut terlibat dalam "political contestation" melalui sistem dan wahana demokrasi berparlimen di Malaysia sewajarnya memahami, menghadami dan mengerti sistem tersebut meskipun sistem itu mungkin mempunyai kelemahan dan kekurangan di sini sana.

Bagi gerakan Islam atau parti Islam seperti PAS, berjuang di medan siasah di atas pentas demokrasi parlimen yang diamalkan di negara ini diistilahkan oleh parti itu sebagai muwajahah silmiyyah atau kadangkala disebut juga silmiyyah muqawamah.

Tema utama perjuangan melalui kaedah "muwajahah silmiyyah adalah memilih kaedah aman dan menjauhi kekerasan.

Melalui pendekatan muwajahah silmiyyah, PAS bukan sahaja bersetuju untuk memilih pendekatan aman di dalam penyertaan parti tersebut di pentas demokrasi, tetapi ia juga bersetuju ( sepatutnya ) untuk terikat dengan aturan permainan (the rules of the game ) yang digunapakai di dalam sistem tersebut.

Antara aturan permainan dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini adalah pihak-pihak bersetuju negara ini bukan melaksanakan pemerintahan Islam sepenuhnya dan Perlembagaan Persekutuan - dan bukannya Al-Quran dan AlSunnah- adalah hukum tertinggi dalam negara ini meskipun dinyatakan di dalam Artikel 3 Perlembagaan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan.

Dan dalam konteks perundangan, perlembagaan persekutuan telah menetapkan bahawa jika ada pertikaian mengenai isu peRlembagaan seperti isu kompetensi badan perundangan seperti Parlimen dan DUN isu tersebut perlu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan. Itu aturan permainannya.

Dan apabila sesuatu kes telah dirujuk ke mahkamah persekutuan untuk diputuskan pertikaian seperti kes Nik Elin, maka pihak-pihak kena akur dengan keputusan mahkamah. Itu juga aturan permainannya.

Keputusan mahkamah wajib dihormati sekalipun pihak tidak bersetuju dan keberatan untuk menerimanya. Lalu, tidak sepatutnya timbul misalnya kata-kata seperti isu dosa menghina Islam lebih besar daripada dosa menghina mahkamah. Jika pihak berkata begitu maknanya pihak tersebut seolah-olah cuba menukar peraturan permainan. Dan ini bermakna pihak tersebut akan dilihat seolah “ menipu” dalam permainan!

YB Presiden PAS dilapor mengeluarkan kata- kata membidas kemunculan sesetengah hakim yang didakwanya mempunyai “kepala dan akal yang dipengaruhi pemikiran penjajah”.

Adakah tuduhan sebegini adil ( fair )? Adakah kenyataan seperti ini menggambarkan PAS benar-benar akur dengan aturan permainan?.

YB Presiden PAS juga dilapor mendakwa, beberapa hakim terdahulu seperti bekas “lord president” (kini dikenali ketua hakim negara) Salleh Abas tidak melayan tindakan yang mahu menyingkirkan syariat Islam.

Sejujurnya, saya tidak pasti sejauh mana YB Presiden PAS familiar dengan semua keputusan almarhum Tun Salleh Abbas kerana jika beliau melazimi keputusan almarhum, saya tidak rasa YB Presiden PAS akan tergamak mengeluarkan kenyataan seperti kenyataan " kemunculan sesetengah hakim yang didakwanya mempunyai “kepala dan akal yang dipengaruhi pemikiran penjajah”.

YB Presiden PAS mungkin tidak sedar almarhum Tun Salleh Abbas sendiri mengakui bahawa sistem perundangan negara ini adalah hakikatnya warisan penjajah sepertimana yang almarhum sebut dalam penghakiman beliau di dalam kes Che Omar Bin Che Soh v. Public Prosecutor (1988) 2 MLJ 55.

Adakah apabila parti Islam misalnya menerima peraturan permainan yang saya jelaskan di atas ia dikira tidak syarie atau tidak selaras dengan Islam?

Saya tidak akan menjawab soalan tersebut tetapi sekadar ingin mengatakan berdasarkan “precedent” yang ditonjolkan oleh Rasulullah saw dalam perjanjian (sulh) Hudaibiyah, adalah jelas sekalipun insiden di Hudaibiyah itu dilihat “tidak adil” dan berat sebelah, adakah Rasulullah saw memilih untuk tidak menghormatinya?

Dan adakah Rasulullah saw kemudiannya memilih untuk menukar aturan permainannya hanya kerana para sahabat rasa kecewa ?

Seorang sarjana Islam - Labeeb Ahmed Bsoul- menyatakan " His method of negotiating the Treaty of Hudaibiyah with the Pagan Makkans left behind a rich diplomatic legacy".

Saya melihat persetujuan PAS untuk turut serta dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini ibarat seperti mengikat janji dan Islam amat peka dalam isu mematuhi janji seperti yang dinyatakan di dalam ayat 1 dalam surah Al- Maidah.

Ketika menafsirkan ayat tersebut Almarhum Sheikh Muhammad Tahir Ibnu 'Asyur menyatakan :

"Perjanjian di ayat tersebut merangkumi perjanjian yang orang Islam meterai hatta dengan orang bukan Islam".

Dalam perundangan antarabangsa wujud sebuah prinsip yang dinamakan pacta sunt servanda ( perjanjian perlu dihormati dan dipegang ). Menurut seorang mantan hakim di ICJ ( Mahkamah Antarabangsa )- yang bukan Islam- prinsip pacta sunt servanda itu selaras dengan ayat 1 di surah Al- Maidah tersebut.

Gerakan Islam yang memilih untuk menyertai sistem demokrasi seperti PAS tidak sewajarnya mengiyakan keraguan terhadap gerakan itu yang sering dituduh menggunakan demokrasi untuk mem”bunuh” demokrasi!


MOHAMED HANIPA MAIDIN ialah mantan Timbalan Menteri UndangUndang, Ahli Parlimen, peguam dan Penasihat Undang- Undang PAS.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.