Skip to main
Logo Malaysiakini

'Bertentangan dengan Islam' - PAS Selangor kecam ugutan bunuh Nik Elin

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

PAS Selangor mengecam ugutan bunuh terhadap peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid berhubung petisyen yang difailkannya yang mencabar enakmen jenayah syariah Kelantan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Mohd Shafie Ngah menegaskan ugutan itu adalah perbuatan melampau yang bertentangan dengan Islam.

"...(Ia) bahkan melanggar undang-undang negara, sekalipun sekiranya ia dilakukan atas nama mempertahankan kuasa gubalan negeri dan undang-undang syariah.

"PAS Selangor mengecam keras perbuatan sedemikian. Kami berharap agar polis menyegerakan siasatan secara menyeluruh dari segenap aspek dan selanjutnya peguam negara segera membuat pertuduhan di mahkamah jika ada bukti yang lengkap," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Shafie lagi, pihaknya juga memandang serius lima laporan polis yang dibuat Nik Elin berhubung ugutan yang diterimanya.

Mohd Shafie Ngah

Pada 9 Februari lalu, panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan dengan keputusan 8-1 membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman untuk membatalkan 18 peruntukan dalam enakmen tersebut.

Mahkamah memutuskan DUN Kelantan melangkaui bidang kuasanya seperti yang termaktub dalam Senarai Negeri (Senarai II), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, mahkamah yang membenarkan pembatalan 16 daripada 18 peruntukan tersebut.

Dua hari kemudian, Nik Elin dilapor NST sebagai berkata, dia menerima banyak ugutan termasuk untuk "menyembelihnya", selain serangan di internet.

Pada 14 Februari lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata pihaknya telah mengenal pasti individu di sebalik akaun media sosial yang membuat ugutan itu.

Dia berkata sebanyak tiga kertas siasatan dibuka dengan satu daripadanya sudah siap.