Tak perlu bincang kaji Perkara 153, tegas Anwar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak perlu menyemak Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang menggariskan kedudukan istimewa bumiputera.
Dia berkata demikian apabila ditanya mengenai gesaan ahli parlimen PKR Hassan Karim agar kerajaan mengkaji semula jika Perkara 153 berfungsi seperti yang diharapkan.
“Kita akan pertahankan kedudukan perlembagaan, termasuk (Perkara) 153.”
“Tak perlu bincang, dah ada dalam perlembagaan," kata Anwar kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini, ahli parlimen Pasir Gudang meminta Kongres Ekonomi Bumiputera akan datang mengkaji semula sama ada Perkara 153 sebenarnya membantu bumiputera atau hanya menguntungkan segelintir elit terpilih sehingga merugikan pihak lain.
Perkara 153 (1) memperuntukkan "menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini."
Perkara 153 antaranya mencakupi jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu negeri), biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain, permit dan lesen yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan.
Hassan pada kenyataan 19 Feb lalu juga menyoal jika dasar afirmatif sebenarnya telah "dirampas dan dimanipulasi" segelintir golongan elit bumiputera.
"...(Adakah ia) benar-benar telah menolong ekonomi bumiputera atau sebaliknya telah dirampas, dimanipulasi oleh segelintir kelas berkuasa elit bumuputera di Semenanjung dan di Sabah serta Sarawak untuk kayakan diri mereka sendiri, keluarga mereka,sahabat handai dan kapitalis-kapitalis kroni mereka sendiri?" soalnya.
Kenyataan Hassan itu selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata KEB 2024 akan bersifat lebih inklusif.
Menurut Hassan, kongres itu bukan saja perlu meneliti semula kedudukan istimewa bumiputera, tetapi turut melihat kembali dasar berasaskan kaum.
Kata Hasan sudah sampai masanya KEB, yang bersifat inklusif menurut Anwar itu, membincang dan merumuskan bahawa soal pembangunan ekonomi rakyat tidak wajar diselesaikan dengan dasar berasaskan kaum atau pembahagian belah bagi bumiputera atau bukan bumiputera, tetapi berasaskan pembahagian darjat kehidupan dan keperluan rakyat.
Kelas bawahan
Jelasnya, segelintir kelas atasan yang disebut sebagai golongan T10 misalnya terdiri daripada semua kaum dan begitu juga golongan bawahan B60 adalah kelas bawahan yang (juga) terdiri daripada semua kaum.
"Jika dikaji tentang golongan miskin tegar, maka kita dapati di dalamnya ada bukan sahaja rakyat miskin bumiputera tetapi juga ramai rakyat miskin India dan Orang Asli," katanya lagi.
Justeru, dia berkata KEB seharusnya memberi tumpuan kepada golongan B60 - iaitu majoriti rakyat yang memerlukan bantuan dan sokongan ekonomi - jika kongres itu benar-benar ingin bersifat inklusif.
KEB 2024 dijadual berlangsung mulai 29 Februari hingga 2 Mac ini.
Terdahulu, Anwar menyuarakan harapan agar kongres itu akan mendapat kerjasama dan sokongan masyarakat Cina dan India bagi membantu menangani masalah kemiskinan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai