Skip to main
Logo Malaysiakini

Cuaca panas di Beaufort: Kelapa di pasar pecah sendiri

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Cuaca panas yang melanda daerah ini sejak beberapa hari lepas mendatangkan kesan kepada kawasan persekitaran dan penduduk di Beaufort, antaranya kelapa yang dijual peniaga di Pasar Am Beaufort pecah dengan sendirinya.

Peniaga kelapa Siti Norziah Moksin, 38, berkata cuaca panas dipercayai meningkatkan tekanan wap panas dalam kelapa sehingga menyebabkan buah itu pecah.

“Keadaan itu berlaku selalunya adalah sebagai tanda cuaca memang berada pada tahap yang panas berbanding sebelum ini. Situasi seperti ini pernah jadi juga sebelum ini.

"Kami sendiri pun memang terdedah dengan keadaan panas (menjual di pasar) memang terasa bahang kepanasan berbanding daripada hari yang biasa," katanya ketika ditemui Bernama di Beaufort hari ini.

Isnin lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan memaklumkan Beaufort merupakan antara kawasan pada Tahap 1 (berjaga-jaga) akibat cuaca panas yang melanda negara iaitu suhu kawasan terlibat boleh mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya 3 hari berturut-turut.

Terletak kira-kira 90 kilometer dari Kota Kinabalu, direntasi Sungai Padas, Beaufort menjadi laluan perantaraan untuk ke Sipitang, Brunei dan Sarawak.

Sementara itu, peniaga rempah ratus Naimah Dullah, 60, mengakui bahang panas menyebabkan ketidakselesaan terutamanya ketika berada di rumah.

Beliau yang berniaga di pasar itu sejak berusia 14 tahun berkata dalam cuaca panas ini beliau memulakan perniagaan agak lewat.

"Ambil masa untuk keluar (rumah) sebab faktor umur, apabila cuaca panas badan rasa kurang selesa...tapi kena datang juga berniaga, kalau tidak datang nanti pelanggan tertunggu.

"Kalau panas berlarutan, memang (kena) bagi amaran melebihi panas, kena hati-hati, berniaga kalau boleh rehat dulu," katanya yang merupakan satu-satunya peniaga rempah di pasar itu.

Gambar hiasan.

Peniaga kelapa parut Mohd Noor Nasir, 60, pula berkata beliau sentiasa mengikuti perkembangan keadaan cuaca di daerah itu menerusi hebahan di media sosial seperti di aplikasi Facebook.

Berasal dari Kampung Jaya Baru Lumadan, Mohd Noor berkata dalam keadaan cuaca panas ketika ini, beliau mengurangkan aktiviti luar namun rutin seharian masih berjalan seperti biasa.

"Kalau dalam pasar memang tidak terasa sangat panasnya cuaca tetapi kalau jalan-jalan di luar memang sangat terasa bahangnya," katanya.

- Bernama