Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Dakwaan 'kecurangan' dalam Pilpres Indonesia

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

KOLUM | Dalam bahasa Melayu Malaysia, perkataan curang dan kecurangan umumnya merujuk kepada sesrorang suami atau isteri yang melakukan hubungan sulit dengan orang lain. Tetapi dalam Bahasa Indonesia, perkataan itu turut digunakan untuk merujuk kepada penipuan, pengkhianatan dalam pengiraan undi pilihan raya.

Maka pihak-pihak yang kalah dalam pilihan raya presiden (pilpres) Indonesia pada 14 Februari lalu iaitu daripada kalangan pendukung Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo menyatakan telah berlaku “kecurangan” di banyak tempat, dan menyerukan supaya disiasat dan menggantung keputusan.

Sementara itu, Prabowo Subianto dan para pendukungnya telah pun menyambut kemenangan. Malah ada pemimpin-pemimpin dunia menghantar ucapan tahniah kepada bakal presiden Indonesia itu.

Sedangkan pengumuman rasmi oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) hanya akan dibuat pada Mac. Sebab itu, pengumuman dan keraian kemenangan Prabowo dibantah oleh pihak-pihak Anies dan Ganjar.

Dalam perkiraan cepat (quick count) yang bukan rasmi pasangan calon Prabowo dan Gibran Rakabuming memperoleh lebih 50 peratus undi. Anies dan Muhaimin Iskandar hanya dapat meraih 20 peratus dan Ganjar bersama Mahfud MD 10 peratus lebih. Pencapaian Prabowo membolehkan beliau menjadi presiden tanpa ada pusingan atau mereka panggil putaran kedua.

Setelah pengumuman rasmi oleh KPU, ia akan disahkan oleh Parlimen iaitu Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), Prabowo akan mengangkat sumpah pada Oktober untuk menggantikan Joko Widodo atau Jokowi.

Namun, pihak Prabowo sepatutnya tidak boleh mengumumkan kemenangan dan keraiannya sebelum KPU membuat pengumuman rasmi. Perkara ini penting kerana, pelbagai pihak daripada jentera pemerintah, institusi-institusi negara hingga kepada dunia korporat akan menyusunkan diri untuk berada di belakang Prabowo sedangkan keputusan rasmi belum dilakukan.

Maknanya pihak Prabowo mendahului KPU yang seperti institusi-institusi negara yang lain perlu neutral dalam soal pemilihan presiden.

Menunggu real count

Sememangnya adalah suatu perkara yang lumrah bahawa pihak yang kalah akan menuduh berlakunya “kecurangan” dalam pilihan raya. Ada rasa penafian atau “sense of denial” bahawa mereka kalah, lebih-lebih lagi jika setiap pihak berasakan mereka telah berusaha sungguh-sungguh dan banyak petanda bahawa mereka mendapat banyak sokongan. Antara petanda itu ialah kehadiran rakyat dalam perhimpunan mereka, serta sokongan orang ramai terhadap gagasan-gagasan politik mereka.

Dalam pilihan raya presiden Amerika Syafikat pun, Donald Trump tidak dapat menerima kekalahannya hingga para pengikutnya menyerbu bangunan Kongres. Itu di negara maju yang mana institusi-institusi demokrasi mereka kuat. Sedangkan institusi demokrasi di Indonesia masih belum benar-benar kuat.

Kemenangan Prabowo saat ini berdasarkan kiraan cepat dan pengumuman rasmi kelak berasaskan pada real count (kiraan sebenar). Walaupun selalunya real count itu boleh menyamai dengan quick count tetapi pernah berlaku juga dalam pemilihan-pemilihan lain, real count itu amat berbeza den dengan quick count hinggakan calon yang pada mulanya menang diumumkan kalah secara rasmi kemudiannya.

Calon naib presiden yang menjadi pasangan kepada Ganjar iaitu Mahfud MD memberitahu media bahawa beliau akur, dan bahawa adalah suatu kebiasaan calon yang kalah akan menyatakan berlakunya “kecurangan” dalam pilihan raya. Tapi menurutnya, apa yang diterima dari pasukan pihaknya yang membuat pemerhatian, telah berlaku “kecurangan” yang “sistematik, berstruktur dan masif “.

Apa yang dimaksudkan dengan sistematik ialah ia dilakukan secara bersistem, bukannya secara terpencil. Berstruktur pula bermaksud ada struktur atau organisasi bagi penipuan undi. “Masif” atau massive bermaksud besar-besaran.

Menurut Mahfud, bukti-bukti sedang dikumpulkan dan pihaknya akan menuntut KPU untuk bertindak. Beliau menyatakan kefahamannya bahawa akan berlaku kesilapan-kesilapan tidak disengajakan. Ini kerana jumlah pengundi adalah banyak yang mengambil bahagian dalam pilihan raya umum Indonesia yang bilangan penduduknya adalah ramai. Dalam hal ini, KPU ada menyatakan terdapat kesilapan-kesilapan pengiraan tetapi peratusannya kecil dan tidak menjejaskan hasil keputusan. Ia tidaklah “sistematik, berstruktur dan masif” seperti yang didakwa Mahfud.

Sementara itu, para mahasiswa di beberapa kampus bandar-bandar besar sudah mula turun mengemukakan tuntutan-tuntutan supaya diatasi “kecurangan” dalam pilpres. Untuk itu Presiden Jokowi menasihatkan semua pihak terlibat yang mempunyai bukti supaya melaporkan kepada Bawaslu iaitu Badan Pengawas Pemilu - pihak yang bertanggunggawab mengurus perkara-perkara itu - dan kemudiannya boleh dibawa kepada Mahkamah Konstitusi iaitu mahkamah yang mengadili soal berkaitan perlembagaan negara dan pelaksanaannya.

Saya membuat pemerhatian-pemerhatian ini adalah berasaskan pada laporan-laporan yang tersiar dalam media digital, baik melalui portal media arus perdana seperti Tempo dan Kompas serta stesen-stesen televisyen. Banyak maklumat yang ada dan tentunya mustahil untuk saya baca, dengar dan tonton kesemuanya.

Namun begitu, tentulah wartawan yang berada di sana lebih dapat merasakan suasana sebenar terhadap apa yang berlaku di Indonesia melalui wawancara dan menyaksikan sendiri peristiwa. Ada dua orang sahabat saya yang juga merupakan wartawan bersara dan menulis kolum berada di sana untuk menyaksikan pemilu. Seorang berada di Jakarta dan seorang lagi melawat 13 kota dalam masa 14 hari iaitu dari Surabaya, Probolinggo, Malang, Batu, Kediri, Jogjakarta, Solo, Purworejo, Kebumen, Cilacap, Purwokerto, Bandung dan Jakarta. Tentunya beliau dapat gambaran meluas.

Namun begitu, media sosial yang ada hari ini, daripada YouTube hinggalah kepada Tiktok membolehkan seseorang yang berada di luar Indonesia mengikuti perkembangan dengan lebih mendalam berbanding 30 tahun lalu di mana seseorang hanya menperoleh maklumat dari media massa yang penyiaran dan edarannya amat terbatas.

Projek-projek Jokowi

Apa yang berlaku hari ini dalam politik Indonesia pula sudah disebut-sebut oleh pemerhati-pemerhati politik sejak setahun lalu. Ada antaranya yang mencurigakan ialah berlakunya rekayasa oleh pemerintah. Rekayasa bermaksud rancangan besar politik tersembunyi atau grand design oleh pihak teratas iaitu dari Presiden Jokowi.

Hal ini sering dikatajan dalam forum, dialog dan wawancara umum yang disiar Melalui televisyen atau YouTube, Reel Facebook dan Tiktok. Tetapi tentulah perkara ini tidak diakui oleh Jokowi. Sikap beliau ialah tenang dan diam. Sambil mengatakan tidak ada campur tangan daripada dirinya, rekayasa beliau kelihatan berjalan terus dan terlaksana.

Salah seorang pemerhati terkenal ialah Rocky Gerung. Beliau adalah seorang ahli falsafah di universiti dan dari sejak awal lagi merupakan penentang Jokowi dengan mengkritik polisi-polisinya. Walaupun beliau dahulu adalah pendukung Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) tetapi dalam pilihan raya ini, beliau memihak pada Anies.

Jokowi pun dahulu anggota PDIP dan menang atas dukungan parti itu. Tetapi kali ini beliau tidak mendukung calon PDIP iaitu Ganjar. Walaupun presiden kelihatan berkecuali tetapi jentera pemerintah didakwa telah digunakan untuk kempen mendukung pasangan calon Prabowo-Gibran.

Beberapa bulan sebelum pilihan raya, Rocky telah menyatakan dalam satu forum bahawa Anies tidak akan menang kerana Jokowi akan menghalangnya. Ini kerana Anies mahu menghentikan projek-projek Jokowi khususnya ibu kota Nusantara. Sementara Prabowo akan menang kerana beliau akan meneruskan segala projek-projek Jokowi.

Rocky meramalkan Anies tidak akan dapat undi lebih 20 peratus.

Bagi Rocky pilihan raya presiden ini sudah rosak apabila anak Jokowi dicalonkan sebagai pasangan Prabowo untuk jawatan naib presiden. Segala halangan peraturan dilanggar melalui perubahan yang dilakukan oleh Mahkamah Konstitusi yang ketika itu diketuai oleh ipar Jokowi.

Rocky juga mempersoalkan begitu banyak poster dan kain rentang untuk Prabowo-Gibran di seluruh negara yang dikatakan dipasang oleh jentera kerajaan. Pihak pasangan calon itu juga mempunyai dana besar untuk memberikan bantuan-bantuan keperluan asas orang ramai bagi memancing undi.

Sebelum pengundian pula, semua survei dan tinjauan suara menunjukkan kemenangan kepada Prabowo-Gibran walaupun Anies menunjukkan kemampuan lebih tinggi dalam ucapan-ucapannya serta menyatakan program-program jelas untuk memperbaiki kehidupan rakyat.

Sememangnya banyak tanda soal dan tafsiran, ditambah pula spekulasi mengenai kemenangan Prabowo-Gibran serta hala tuju Indonesia yang akan dibawa. Sama ada kemenangan itu hanya akan menguntungkan golongan elit serta “dinasti” Jokowi dan Prabowo, maka masa akan menentukannya.


ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.