Skip to main
Logo Malaysiakini

Mengimbau laluan rencam, berwarna-warni Abdul Taib

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Abdul Taib Mahmud (21 Mei 1936 – 21 Feb 2024) akan genap berkhidmat 10 tahun sebagai gabenor Sarawak minggu depan jika masih memegang jawatan itu dan dipanjangkan usianya.

Bagaimanapun jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak sudah diisi oleh Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengangkat sumpah jawatan pada 29 Jan lalu.

Abdul Taib pula menghembus nafas terakhir pada pagi semalam selepas beberapa lama mengalami keuzuran.

Perjalanan politiknya yang sekian lama memang tidak dapat dinafikan telah mencatatkan pelbagai kejayaan besar di Negeri Kenyalang tersebut.

Dilahirkan di Miri sebagai anak sulung daripada 10 adik-beradik, Abdul Taib pada asalnya ingin menjadi doktor namun bapa saudaranya yang berpengaruh - Abdul Rahman Ya'kub - meyakinkan dia untuk belajar undang-undang.

Abdul Rahman merupakan bekas menteri pendidikan Malaysia yang kemudian - sama seperti Abdul Taib - dilantik menjadi ketua menteri serta Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

“Dengan ijazah undang-undang, saya berpandangan Abdul Taib dan saya akan dapat berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat Sarawak,” kata Allahyarham Abdul Rahman yang dipetik The Star semasa sambutan ulang tahunnya yang ke-80 pada 2008.

Sekembalinya Abdul Taib melanjutkan pengajian di Australia selepas belajar dan berkhidmat sebagai pembantu hakim di negara itu, dia dipujuk oleh Abdul Rahman untuk menyertai Barisan Ra'ayat Jati Sarawak (Barjasa) pada 1963.

Parti itulah yang kemudian menjadi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi kerajaan di Sarawak sekarang.

Allahyarham Abdul Rahman Ya’kub

Ia menjadi langkah pertama Abdul Taib dalam politik dan kemudian membawa dia menjadi kemudian menjadi wakil rakyat sebelum dilantik sebagai menteri dalam kabinet Sarawak.

Pada tahun 1966, Abdul Taib dilantik sebagai menteri pembangunan dan perhutanan negeri.

Selepas memenangi kerusi parlimen Samarahan pada 1970, Abdul Taib dilantik berkhidmat peringkat pusat sebagai timbalan menteri dan menteri sehinggalah dia meletakkan jawatan untuk kembali ke politik Sarawak dengan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sebandi (kini Asajaya).

Dia memenangi PRK tersebut tanpa bertanding sebelum kemudian menggantikan Abdul Rahman sebagai ketua menteri, manakala bapa saudaranya itu menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Cubaan jatuhkan ketua menteri

Abdul Taib memegang jawatan itu selama hampir 33 tahun sebelum dia sendiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 1 Mac 2014.

Tetapi di sebalik kaitan kekeluargaan dengan Abdul Rahman, hubungan Abdul Taib dengan Abdul Rahman tidaklah sentiasa mesra.

Pada 1986 Abdul Rahman terpaksa berundur daripada jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak - dikhabarkan atas faktor kesihatan - dan tempatnya digantikan oleh Ahmad Zaidi Adruce.

Kemuncak perselisihan di antara mereka ialah apabila Abdul Taib membatalkan lesen pembalakan yang diberikan kepada syarikat dikaitkan dengan bapa saudaranya itu.

Penyokong Abdul Rahman kemudian bertemu di Hotel Ming Court (kini Hotel Corus) di Kuala Lumpur untuk merancang undi tidak percaya terhadap Abdul Taib. Pakatan itu dikenali sebagai Peristiwa Ming Court.

Namun langkah mereka gagal apabila Abdul Taib membubarkan DUN Sarawak untuk membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan. Abdul Taib kembali menjadi kerajaan dan ketua menteri apabila memenangi PRN tersebut.

Beberapa perancang utama juga ditahan tanpa perbicaraan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), manakala sebahagian yang lain meninggalkan Sarawak.

Bagaimanapun mereka akhirnya menamatkan perseteruan tersebut kemudian.

The Star melaporkan kedua-dua mereka berpelukan antara satu sama lain pada hari lahir ke-80 Abdul Rahman. Dia juga meredakan konflik tersebut dengan menganggapnya sekadar salah faham.

“Bagi kami, ia bukanlah satu isu besar. Seseorang melaporkan kepadanya bahawa saya akan menjatuhkan dia. Itu tidak betul.

"Dia kemudian mendapati apa yang mereka katakan kepadanya adalah salah sama sekali. Dia juga memberitahu anak saya mengenai hal itu,” Abdul Rahman dipetik sebagai berkata.

Dakwaan salah guna kuasa

Sarawak menyaksikan pembangunan pesat di bawah kepemimpinan Abdul Taib dari 1981 hingga 2014, sebahagiannya berkat kekayaan hasil bumi Sarawak termasuk balak dan minyak.

Antaranya projek mega seperti Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score) yang memerlukan pembinaan siri empangan hidroelektrik termasuk Empangan Bakun yang memberi manfaat kepada industri seperti peleburan aluminium dan pembuatan kaca terapung yang memerlukan banyak tenaga elektrik dan/atau air.

Kawasan hutan hujan yang begitu besar di negeri berkenaan juga ditukar menjadi ladang kelapa sawit.

Bagaimanapun, projek pembangunan sebegitu sering kali berkonflik dengan kumpulan peribumi yang bergantung kepada hutan untuk kelangsungan hidup mereka.

Sesetengahnya menyaksikan komuniti terbabit membawa pertikaian tersebut ke mahkamah selain mengadakan sekatan untuk menuntut hak adat mereka.

Empangan Bakun

Konflik berkenaan kekal berlanjutan walaupun selepas Abdul Taib tidak lagi menjadi ketua menteri sejak 2014.

Abdul Taib juga dituduh menyalahgunakan kuasanya sebagai ketua menteri untuk membangunkan sistem naungan yang memperkayakan diri sendiri, keluarga, dan kroninya.

Dia bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.

Menurut Abdul Taib, dia telah "menutup" syarikat berkaitan keluarganya, Cahya Mata Sarawak Bhd, daripada hidupnya untuk mengelakkan konflik kepentingan.

Syarikat lain yang dikaitkan dengan Abdul Taib dan keluarganya ialah firma perkhidmatan minyak dan gas, Dayang Enterprise Holdings Bhd, Naim Holdings Bhd (pemaju hartanah), KKB Engineering Bhd (fabrikasi keluli) dan Ta Ann Holdings Bhd (perladangan).

NGO Switzerland, Bruno Manser Fund (BMF), mendakwa pada 2014 terdapat 333 syarikat di Malaysia dan 418 di seluruh dunia yang dimiliki oleh adik beradik Abdul Taib dan empat anaknya.

Pegangan keluarga dalam 14 syarikat teratas yang berpangkalan di Malaysia sahaja dianggarkan berjumlah RM3.95 bilion berdasarkan pemfailan syarikat pada masa itu.

BMF kini menghadapi saman fitnah daripada anak perempuan Abdul Taib, Jamilah Taib Murray, dan suaminya Sean Murray, berhubung kenyataan NGO terbabit mengaitkan syarikat hartanah mereka Sakto Group dengan kegiatan rasuah dalam industri pembalakan Sarawak.

Sean Murray dan Jamilah Taib Murray

Dalam laporannya pada 2017 BMF mendakwa keluarga Taib telah menyalurkan sekurang-kurangnya CA$69.8 juta (RM232 juta) kepada kumpulan syarikat Sakto.

Satu lagi petunjuk tentang kekayaan keluarga itu muncul daripada kes mutaah di antara anak lelaki Abdul Taib, Mahmud Abu Bekir, dengan bekas isterinya Shahnaz A Majid.

Seorang akauntan memberi keterangan pada 2014 bahawa aset Mahmud Abu Bekir bernilai antara RM976 juta hingga RM1.395 bilion.

Kontroversi yang menyelubungi Abdul Taib dan dakwaan terkait dengan pembalakan haram di Sarawak juga menyebabkan bekas alma maternya, Universiti Adelaide, mengeluarkan nama tokoh terbabit dari plaza berhampiran fakulti undang-undang yang dinamakan sempena namanya.

Abdul Taib meninggalkan seorang isteri, Raghad Kurdi Taib, selain empat anak hasil perkahwinan terdahulunya, Jamilah, Mahmud Abu Bekir, Sulaiman Abdul Rahman, dan Hanifah Hajar.

Untuk seketika Sulaiman pernah menjadi timbalan menteri pelancongan iaitu dari 19 Mac 2008 hingga 14 Dis tahun berikutnya.

Hanifah Hajar pula merupakan Ahli Parlimen Mukah dan ketika ini menjadi timbalan menteri ekonomi.

Abdul Taib dikebumikan di sebelah isteri pertamanya, Laila Taib, yang meninggal dunia di Demak Jaya pada 2009.

[Baca laporan penuh]