Skip to main
Logo Malaysiakini

Rakyat Ukraine bina semula kehidupan di saat perang belum tamat

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Dua tahun berlalu sejak pencerobohan di Ukraine yang menyebabkan jutaan melarikan diri daripada serangan berterusan tentera Rusia.

Bagi rakyat Ukraine, sama ada di barisan depan atau jauh, hidup diteruskan dengan bantuan setempat dan juga dari luar negara.

Di tengah ibu kota Kyiv, pengunjung meletakkan jambakan bunga dan bendera di sepanjang tembok peringatan sepanjang 100 meter,yang memaparkan gambar dan nama mereka yang terkorban sejak meletusnya perang dengan Rusia pada 2014.

Di Dataran Mykhailivska, bangkai kereta perisai dan misil Rusia yang dimusnahkan tentera Ukraine dijadikan pameran, sebagai peringatan terhadap perang yang melanda.

Di dataran itu juga terletaknya Monumen Grand Princess Olga, tugu yang didirikan pada 1995 bagi memperingati puteri yang hidup pada abad ke-10 itu yang berkahwin dengan salah seorang pengasas Kyiv.

Kini, tugu itu diberikan "wajah baru" - jaket kalis peluru.

Penduduk setempat menyifatkan Kyiv sebagai "kubu", yang setakat ini belum dapat ditembusi tentera Rusia walaupun sudah berkali-kali serangan dibuat, terbaru pada 15 Februari lalu, seperti dilapor Reuters.

Monumen Grand Princess Olga

Akibat perng itu, Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) menganggarkan sebanyak 3.7 juta penduduk hilang tempt tinggal sementar 6.3 juta lagi menjadi pelarian.

Bandar Lviv, yang terletak di barat Ukraine dan kira-kira 500km dari sempadan Poland, merupakan satu daripada beberapa pintu masuk antarabangsa sejak penutupan lapangan terbang utama negara itu.

Ia kini menempatkan kira-kira 350,000 rakyat yang hilang tempat tinggal atau pelarian domestik.

Tembok peringatan di Kyiv

Ketua Pentadbiran Tentera Wilayah Lviv Maksym Kozytskyi berkata populasi kira-kira dua juta di wilayah itu hampir meningkat dua kali ganda dalam tempoh beberapa bulan susulan pencerobohan Rusia.

"Pada Februari 2022, kami (di Lviv) menerima kemasukan 150,000 orang setiap hari," katanya kepada kumpulan wartawan yang menyertai kunjugan yang dianjurkan dengan kerjasama Ukraine Crisis Media Centre.

Dia mengakui terdapat kesukaran dalam menguruskan gelombang awal kemasukan di Lviv namun keadaan kini terkawal.

Jadi tempat berlindung

Lviv dianggap sebagai antara bandar paling selamat di Ukraine ketika perang dengan kebanyakan bangunan dilengkapi kubu bawah tanah, walaupun serangan udara Rusia - diiringi dengan bunyi siren - kekal menjadi kebimbangan.

Menurut Kozytskyi, dengan Lviv kini menempatkan begitu ramai rakyat yang hilang tempat tinggal, keutamaan sekarang adalah menyediakan kediaman dan pekerjaan baru untuk mereka.

Maksym Kozytskyi

"Di awal perang, rakyat di Lviv menempatkan mereka yang tiba di rumah sendiri, walapun tidak kenal mereka," katanya lagi.

Sementara kerajaan dan penduduk tempatan diberi penghargaan atas bantuan awal, sumbangan daripada kerajaan Poland dan United Kingdom akhirnya membolehkan pembinaan petempatan bermodul di daerah Sykhiv, kira-kira 15 minit perjalanan dari pusat bandar.

Petempatan itu merangkumi lapan binaan dua tingkat, dengan setiap tingkat ada 44 unit, sebuah dapur, tempat makan dan bilik air yang dikongsi bersama.

Pentadbir petempatan itu, Oleh Feday berkata ia dibina oleh kerajaan tempatan pada April 2022, dua bulan selepas serangan bermula.

"Sekarang kita ada lebih 1,000 penduduk. Mereka tinggal di sini secara percuma. Gereja Katolik sediakan makanan percuma sekali sehari," katanya.

Bangkai kelengkapan perang yang dipamerkan

Unit petempatan itu dipasang siap di Poland sebelum dihantar ke Ukraine, kata Feday.

Ramai yang masuk ke unit bersama-sama keluarga, termasuk Yuliya Vyshnevetska, wanita berusia 86 tahun yang tinggal di situ dengan anak perempuannya.

Hidup di tengah perang

Menerusi temu bual yang dibantu penterjemah bahasa Inggeris, Vyshnevetska berkata serangan yang menimpa rumahnya di Donetsk - yang diduduki Rusia sejak 2014 dan kira-kira 1,000km dari Lviv - membawa semula ingatan kepada kengerian Perang Dunia Kedua.

"Saya fikir untuk balik rumah, tapi rumah kami sudah dimusnahkan.

"Saya nak Ukraine menang dan saya nak kami kembali hidup seperti sebelumnya," kata Vyshnevetska yang menunjukkan kemarahan meluap=luapnya terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Yuliya Vyshnevetska

Bagi generasi muda yang membesar di petempatan itu, guru bahasa Inggeris, Ina Yurchenko berkata ramai yang belum memahami situasi yang memaksa mereka tinggal di situ.

"Mereka kelakar. Saya rasa mereka tak faham sebab kita semua di sini.

"Mereka jadi takut bila ada amaran serbuan udara, tetapi ketika tidak di dalam bahaya, mereka bersikap macam kanak-kanak lain," katanya yang menyediakan kelas harian kepada kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.

Ina Yurchenko

Yurchenko menaruh harapan tinggi terhadap masa depan anak-anaknya. Anak sulung lelakinya kini berkhidmat dalam tentera Ukraine, manakala yang bongsu - juga lelaki - sudah berusia 16 tahun.

Merentasi Lviv, perang dan penduduk yang berlindung di situ menyumbang kepada kepelbagaian budaya di bandar itu.

Restoran halal Crimean-Tartar muncul sebagai tempat makan yang popular. Restoran-restoran ini diusahakan masyarakat minoriti Islam yang melarikan diri dari tanah air mereka ekoran serangan Rusia.

Mereka kini tinggal di tengah-tengah masyarakat Kristian dan Katolik yang merupakan majoriti.

Gereja di Ukraine

Geraja Saints Peter dan Paul Garrison, yang dibina pada abad ke-16, ditutup oleh kerajaan Soviet pada 1946. Ia dibuka semula pada 2010 oleh Gereja Greek-Katolik Ukraine.

Ia kekal menjadi tempat ibadat buat askar-askar Ukraine.

'Rusia hanya boleh disekat jika kita melawan'

Di Kyiv, pegawai kerajaan Ukraine meningkatkan gesaan untuk bantuan antarabangsa dalam menghadapi perang.

Di Kementerian Hal Ehwal Luar, pengarah jabatan politik Liubov Nepop berkata lebih 200 rundingan telah dibuat dengan Rusia sejak 2014 namun gagal menghentikan serangan, yang akhirnya membawa kepada pencerobohan pada 2022.

Nepop berkata jangkaan awal yang Rusia akan menghentikan serangan terhadap Ukraine selepas negara itu menduduki Crimea pada Februari 2014 nampaknya salah sama sekali.

"Pada masa ini, kami telah sedar yang Rusia hanya boleh dihentikan jika kita melawan," katanya sambil menambah Rusia berjaya dihalang daripada terus masuk jauh ke dalam Ukraine.

"Mujurlah, sejak perang bermula (pada 2022), komuniti antarabangsa telah bangun dan membantu kami dalam penentangan ini," katanya lagi.

Seorang lagi pegawai kementerian, Oleksandr Lysak pula berkata ada pelbagai cara untuk negara luar, termasuk Malaysia, membantu Ukraine.

"Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk menyertai Formula Perdamaian Ukraine," katanya, merujuk rancangan 10 perkara presiden, Volodymyr Zelenskyy.

Ia mula diumumkan kepada pemimpin daripada negara Kumpulan Tujuh (G7) pada 12 Oktober 2022.

Kata Lysak lagi, kesan perang Rusia-Ukraine, yang masih nampak akan berkahir, boleh menjadi begitu meluas, dengan kemuncaknya adalah masalah kebuluran di negara-negara jiran yang bergantung kepada pengeluaran bijirin oleh Ukraine.

[Baca berita asal]