Skip to main
Logo Malaysiakini

Tol KL boleh runding semula bila kewangan negara kukuh - Anwar

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata perjanjian konsesi tol di Kuala Lumpur boleh dirundingkan semula apabila kewangan negara semakin kukuh.

Bercakap pada sebuah majlis forum, Anwar berkata dia setuju dengan pandangan seorang hadirin yang menyuarakan isu terlalu banyak tol di ibu negara itu.

"Tol ini saya warisi (daripada pentadbiran lalu). Tol macam tu, bila kita tutup, kita kena belanja. Dia ada standard agreement.

"Saya setuju dengan anda. Banyak orang mengadu tentang tol di Kuala Lumpur ni. Apa yang kita buat sekarang? Tetapi ia ambil masa.

"Kewangan negara mesti kuat baru boleh kita runding semula (konsesi tol).

“Sekarang ini kita terikat dengan perjanjian dengan syarikat-syarikat tol ni,” katanya pada majlis forum bersempena penutupan Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor hari ini.

Anwar sempat berseloroh bahawa Malaysia mempunyai antara rekod paling cemerlang di dunia dalam soal tol.

Pada April 2022, Putrajaya menstruktur semula perjanjian untuk mengambil alih empat lebuh raya berkaitan Gamuda Bhd iaitu Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong Pintar, Lebuhraya Sprint dan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Langkah itu dirancang untuk mengelakkan caj tol dinaikkan sehingga tamat tempoh konsesi masing-masing.

[Baca berita asal]