Skip to main
Logo Malaysiakini

Demo Bersih: MP saran penganjur, pihak berkuasa kerjasama

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Pihak penganjur demonstrasi disaran bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan proses penyerahan memorandum berjalan dalam keadaan aman.

Ahli Parlimen Sungai Petani Taufiq Johari berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perancangan NGO Bersih untuk berarak ke parlimen pada Selasa depan bagi mendesak kerajaan melaksanakan reformasi perundangan.

Katanya, sebagai seorang ahli parlimen, dia mengalu-alukan sebarang gerakan rakyat anjuran mana-mana organisasi yang berlandaskan undang-undang.

"Saya mengalu-alukan sebarang bentuk gerakan rakyat termasuk Bersih selagi perkara tersebut tidak melanggar undang-undang dan aspek keselamatan yang ditetapkan.

"Saya memohon agar pihak penganjur dan pihak berkuasa dapat bekerjasama bagi memastikan proses penyerahan memorandum berlangsung dengan lancar dan sempurna.

“Diharapkan agar tidak terdapat insiden yang tidak diinginkan," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam, Bersih berkata perhimpunan anjurannya itu bertujuan 'mengingatkan' kerajaan berkenaan tiga agenda reformasi.

Pertama adalah untuk menambah baik perlindungan terhadap pemberi maklumat dan membuka akses terhadap maklumat kerajaan.

Perkara kedua mengenai had tempoh jawatan perdana menteri, yang juga sebahagian daripada manifesto pilihan raya PH manakala ketiga berkenaan Akta Hasutan, selaras dengan janji PH untuk menyemak semula dan memansuhkan undang-undang yang dilihat zalim.

Ambil serius tuntutan Bersih

Mengulas lanjut, Taufiq berkata tuntutan Bersih itu sebahagian proses demokrasi dan orang ramai bebas menyuarakan pendapat di Malaysia.

Justeru, katanya, kerajaan wajar menilai tuntutan tersebut jika ia perlu dilaksanakan segera.

"Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan memberi tumpuan kepada titah Yang di-Pertuan Agong.

“Jika tuntutan Bersih dirasakan perlu disegerakan maka wajar kita memandang serius dan harus ada usaha serta perbahasan ke arah itu," tambahnya.

Bagaimanapun, Taufiq mengakui kerajaan memerlukan masa untuk melaksanakan semua bentuk reformasi seperti yang dijanjikan pada pilihan raya lalu.

"Namun, saya yakin Kerajaan Madani sedang berusaha memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik dan reformasi ini perlukan kerjasama dari semua pihak," katanya.

Ketika ditanya jika penyokong kerajaan akan turut serta dalam perarakan tersebut, Taufik menjawab pihaknya belum mendapat sebarang arahan.

"Tapi saya bercakap atas kapasiti sebagai ahli parlimen Sungai Petani.

"Ahli parlimen kerajaan akan turut meraikan dan menerima memorandum tersebut selagi mana ia tidak melanggar undang-undang," katanya lagi.