ANALISIS | Adakah Anwar akan 'tergelincir' bersama nilai ringgit?
Kejatuhan nilai ringgit ke paras terendah pada RM4.795 berbanding dolar minggu lalu mencetuskan persoalan sama ada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mampu bertahan dengan situasi sukar ini atau tidak.
Anwar yang juga menteri kewangan turut berdepan beberapa halangan sebelum ini seperti isu ketiadaan bekalan beras tempatan, kartel ayam dan masalah kos sara hidup rakyat yang meningkat menyebabkan kerajaannya sentiasa menjadi sasaran peluru musuh politik.
Terbaru, nilai ringgit yang jatuh ke paras terendah dalam 26 tahun sejak kali terakhir iaitu RM4.88 pada Januari 1998 menyebabkan impak secara langsung dialami rakyat dengan beberapa pihak membangkitkan isu kenaikan harga barang di pasaran.
Penganalisis politik, Pusat Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya Prof Dr Awang Azman Awang Pawi (gambar bawah) berkata keyakinan rakyat terhadap kerajaan akan merosot sekiranya situasi ini berterusan.
"Anwar dan kerajaan perlu memastikan kejatuhan nilai ringgit ini bersifat sementara dan boleh pulih dalam jangka masa pendek.
"Jika dibiarkan berterusan, ia akan menimbulkan rasa kebimbangan kepada rakyat dan akan mempengaruhi situasi ekonomi semasa dalam konteks setempat," katanya kepada Malaysiakini.
Kata Awang Azman jika kerajaan dapat menyelesaikan isu ekonomi negara termasuk memulihkan nilai ringgit, ia akan menjadi faktor meningkatkan keyakinan terhadap kepimpinan anwar dan kerajaan perpaduan.
"Ia perlu diserlahkan dengan tindakan (dasar) yang meyakinkan bagi memastikan nilai ringgit pulih agar dapat memberikan keyakinan terhadap pentadbirannya.
"Jika tidak, perkara sebaliknya akan berlaku," katanya lagi.
Sementara itu, pakar ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Must) Prof Dr Barjoyai Bardai (gambar atas) berkata kerajaan perlu berani melaksanakan dasar-dasar asas dengan memberi lebih tumpuan kepada masalah masa kini yang dihadapi oleh rakyat.
"Apakah perubahan struktur ekonomi yang akan diperkenalkan untuk mengubah landskap ekonomi Malaysia? Inilah yang ditunggu-tunggu semua pihak termasuk pelabur asing dan inilah juga yang diharapkan daripada kerajaan.
"Jika dibanding pada krisis kewangan Asia 1997 dulu, Korea Selatan paling terjejas, tapi kerana mereka berani buat perubahan drastik, hari ini ekonomi Korea Selatan empat kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia,” katanya.
Menurut Barjoyai kerajaan pimpinan Anwar yang juga bekas menteri kewangan ketika krisis 1997 tidak perlu menekankan sangat pada kesan jangka pendek akibat perubahan dasar pentadbiran.
Tambahnya, walaupun perubahan drastik itu sukar dan memerlukan tempoh yang panjang untuk membuahkan hasil namun ia tetap perlu dilaksanakan.
“Kerajaan hari ini adalah bekas pembangkang, dulu lantang dengan janji bulan bintang dan kata ada formula yang boleh selesai masalah mata wang.
“Tapi bila sampai masa mereka seolah-olah menggelabah," katanya.
Pun begitu, dia menolak dakwaan yang mengatakan kerajaan pimpinan Anwar tidak berfungsi dengan baik.
"Saya rasa perancangan sedia ada ini bagus tapi perlu lebih berani, lebih fundamental, (walaupun) ramai yang tidak suka dengan kerajaan ini, tapi kita nak kerajaan lebih berani laksanakan dasar-dasar baru.
"Rakyat di luar fikirannya mudah, dia nak kesejahteraan, pendapatan meningkat dan kos sara hidup menurun. Jadi, kerajaan kena beri lebih tumpuan pada hal tersebut. Contohnya, harga beras dan ayam naik dan ketiadaan bekalan beras di pasaran.
"Masalahnya, ahli politik hanya fikir lantikan mereka hanya lima tahun, jadi mereka ada keutamaan lain. Jika kerajaan ini tidak kekal, (mereka takut) orang lain yang akan mendapat kredit," katanya.
Mengulas lanjut, kata Barjoyai isu kejatuhan nilai ringgit ini tidak akan menjejaskan kedudukan politik Anwar.
"Mana-mana kerajaan pun sama, kita perlu bagi masa bukannya (minta) penyelesaian serta merta dan tak boleh harap tiba-tiba kadar mata wang turun.
"Pembangkang hanya main persepsi (negatif) tapi kita lihat kerajaan ini ada banyak perancangan cuma mungkin belum nampak hasil," tambahnya.
Bagi penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian (gambar bawah), kerajaan perlu menguruskan persepsi terhadap isu kejatuhan nilai ringgit ini dengan lebih baik.
Katanya, ia penting untuk memastikan sokongan berterusan rakyat terhadap kerajaan.
"Tidak ada pemerintah yang mahu melihat kejatuhan kadar mata wang sehingga mampu mempengaruhi ekosistem persekitaran negara.
"Persoalan ringgit, ekonomi dan sara hidup akan terus sentiasa menjadi agenda utama negara.
"Justeru, kestabilan politik menjadi teras bagi memastikan kesejahteraan, keamanan dan keselamatan negara tak terjejas," katanya.
Tambahnya, sokongan terhadap Anwar akan bergantung kepada sejauh mana campur tangan kerajaan dan strategi pantas yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah ekonomi ini.
"Saya tidak ada data sama ada sokongan kepada perdana menteri meningkat, merosot atau boleh merosot.
“Tapi sokongan di parlimen telah meningkat daripada sebelum ini," kata Sivamurugan lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, pakar ekonomi Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff (gambar bawah) berkata situasi sekarang berbeza dengan krisis kewangan Asia pada 1997 kerana pada ketika itu hutang luar negara bersandar pada nilai dolar yang menyebabkan kesan dan impak lebih tinggi.
"Sekarang kebanyakan hutang negara bersifat domestik yang berasaskan pada nilai ringgit, jadi kita terselamat.
"Bukan semua faktor kita boleh kawal, melihat nilai ringgit bukan satu-satunya indikator.
"Kalau kita lihat nilai inflasi masih rendah dan ia bukti rakyat boleh membeli dan ada kuasa beli," jelasnya.
Menurut Ahmed Razman yang juga pengarah program MBA Putra Business School, nilai ringgit akan kembali mengukuh dalam tempoh suku kedua tahun ini.
Dia juga menyarankan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang spekulasi yang timbul.
"Nilai ringgit rendah pun ada kelebihan untuk menarik pelabur luar dan naikkan nilai eksport.
"Kita kena tengok realiti kerana barangan masih mampu dibeli jadi kita kena terus sokong produk tempatan serta bercuti dalam negara.
"Rakyat yang terlibat dalam aktiviti perniagaan boleh memasarkan barangan mereka ke luar negara untuk mendapat pulangan yang tinggi atau terlibat dalam industri hospitaliti seperti pelancongan atau perniagaan di sempadan (Singapura dan Thailand) di mana pelancong akan lebih banyak berkunjung dan berbelanja," tambah Ahmed Razman.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai