Mujahid: Agong tak mahu k'jaan diganggu-gugat
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mahukan sebuah kerajaan persekutuan yang stabil, menurut Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof.
Ini selepas Sultan Ibrahim bertitah di parlimen bahawa baginda tidak akan melayan sebarang cubaan rampasan kuasa dan menyeru mereka yang ingin "bermain politik" untuk menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang.
Mujahid (gambar bawah) yang juga bekas ahli parlimen Parit Buntar berkata ia satu peringatan untuk semua ahli parlimen agar bersama-sama menumpukan usaha membangunkan negara.
"Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tidak mahu kerajaan diganggu sebab mahukan kestabilan.
"Sebab itu baginda ingatkan pembangkang supaya tumpu stabilkan kerajaan bersama," katanya kepada Malaysiakini.
Menurutnya lagi, Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu mengimbangi kesan politik akibat dasar-dasar baru yang diperkenalkan kerajaan pimpinannya.
Bagaimanapun, Mujahid berkata pembangkang terutama PAS akan terus mengkritik dan memainkan isu 3R (kaum, agama dan raja-raja).
"Untuk melakukan sesuatu (perubahan) yang drastik, perdana menteri perlu mengimbangi kesan politik daripada dasar diperkenalkan. Contohnya subsidi bersasar, pencen dan lain-lain.
"Namun, ini tidak menghalang pembangkang untuk terus mengkritik dan jadikan bahan politik.
"PAS khususnya akan terus memainkan isu agama dan kaum kerana itu Tuanku (Sultan Ibrahim) juga menyebut supaya ahli politik berhenti daripada memainkan isu seperti ini," katanya.
Tukar kerajaan
Mengulas lanjut, kata Mujahid teguran baginda itu secara tidak langsung memberi jaminan untuk kerajaan pimpinan Anwar menumpukan kepada tugas mentadbir negara.
"Kerajaan boleh bekerja lebih fokus dan rakyat tidak akan diheret dengan persoalan bila nak jatuh kerajaan?
"Ia bagus juga untuk pegawai kerajaan menumpukan kepada tugasan mereka serta berikan khidmat terbaik kepada rakyat tanpa perlu rasa teragak-agak berapa lama kerajaan ini akan bertahan," jelasnya.
Mujahid berkata Sultan Ibrahim turut menegur anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara supaya menjaga adab ketika berbahas serta menggunakan bahasa yang sopan dan tidak memaki hamun.
"Ini sangat penting supaya parlimen menjadi tempat membincangkan hal-hal rakyat dan bukannya pasal parti politik serta menjadi tarikan media semata-mata.
"Kita dalam fasa pemulihan dan semua pihak perlu menjayakan usaha ini.
"Tapi saya yakin Anwar dan kerajaan hari ini lebih bijak mendepani perubahan struktural yang lebih berkesan dengan impak rendah politik," kata Mujahid lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai