Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tuntutan Bersih bukti kerajaan cuma sembang kosong'

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shari, menjadi satu-satunya wakil rakyat dari blok pembangkang yang keluar menerima memorandum peserta himpunan #Reformasi100Peratus anjuran Bersih hari ini.

Bercakap kepada pemberita, Ketua Penerangan PAS Pusat itu berkata tuntutan Bersih hari ini sebenarnya membuktikan tanggapan pembangkang terhadap kerajaan selama ini adalah tepat.

“Kami dah beritahu lama dulu bahawa kerajaan ini merupakan kerajaan yang sembang kosong saja, yang sekadar menyebut untuk melaksanakan reformasi tetapi apabila mereka bekerjasama dengan kleptokrat, yang mereka dakwa sebagai kaki rasuah sebelum ini, akan ada nilai-nilai yang terpaksa mereka gadai,” katanya.

Ahmad Fadhli juga membayangkan kesediaan PN untuk bersama dengan Bersih mendesak kerajaan melakukan pembaharuan di sebalik imej NGO itu yang selama ini dianggap dekat dengan PH.

Katanya, dia berpendapat tuntutan reformasi yang dikemukakan Bersih pada hari ini memang sesuatu yang wajar.

"Kami dari PN dan pembangkang, sentiasa bekerjasama dengan sebarang agenda yang sama dengan Bersih.

"Saya perhatikan tuntutan daripada Bersih ini ialah tuntutan yang sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan," katanya lagi.

Pun begitu bekas ketua Pemuda PAS Pusat itu menjelaskan buat masa ini pihaknya akan meneliti satu per satu tuntutan yang dikemukakan Bersih dan akan membawanya kepada peringkat tertinggi PN untuk dipertimbangkan.

Tanda ada yang tak kena

Menurut Ahmad Fadhli, umum mengetahui Bersih mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin PH yang menjadi kerajaan sekarang termasuk dari sudut hubungan secara peribadi.

Sebelum ini, katanya, Bersih juga memberikan sokongan kepada PH yang ketika itu menjadi pembangkang.

Namun, dakwa Ahmad Fadhli, protes yang dilakukan Bersih di Jalan Parlimen hari ini menghantar suatu isyarat yang tertentu.

“Apabila Bersih terpaksa buat seperti ini untuk memberitahu kepada kerajaan tuntutan ini, sudah tentu di sana ada something wrong (sesuatu yang tidak kena) dalam pelaksanaan reformasi okeh pihak kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fadhli berharap Bersih tidak berhenti setakat hari ini saja sebaliknya perlu mengadakan gerakan-gerakan lain bagi memastikan kerajaan benar-benar melaksanakan janji reformasi mereka.

Terdahulu kira-kira 100 peserta menyertai himpunan #Reformasi100Peratus bagi bagi mendesak kerajaan menunaikan janji melaksanakan reformasi menyeluruh.

Mereka berarak ke pekarangan bangunan parlimen seawal jam 8.30 pagi ini dengan kebanyakannya berbaju hitam atau kuning sebelum menyerahkan memorandum kepada wakil kerajaan dan pembangkang.

William Leong dan Hassan Abdul Karim adalah antara ahli parlimen yang menerima memorandum tersebut bagi pihak kerajaan.

Untuk rekod pada 2016 Anwar menghantar nota dari penjara menggesa rakyat Malaysia menyertai perhimpunan Bersih 5 yang menuntut perdana menteri ketika itu, Najib Razak, meletak jawatan ekoran skandal 1MDB.

“Kita telah kehabisan segala cara untuk mengukuhkan demokrasi seperti yang ditegaskan dalam Deklarasi Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.

"Amanah ini telah dicabuli. Tuntutan Bersih juga tidak diendahkan.

“Oleh itu, saya menggesa semua rakyat Malaysia, dalam semangat persaudaraan, untuk menyertai perhimpunan Bersih 5,” katanya sambil menambah bahawa penyertaan mereka akan meletakkan asas kepada perubahan.