Skip to main
Logo Malaysiakini

Azalina: 'Suis pemati' diwujud bagi tangani penipuan dalam talian

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Kerajaan sedang mengambil langkah mewujudkan satu sistem perundangan yang mampu bertindak sebagai 'kill switch’ kepada aktiviti penipuan dalam domain atau platform dalam talian secara automatik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan Madani juga sedang merangka satu akta baru yang merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan 'kill switch' berkenaan untuk meningkatkan tahap keselamatan digital secara terperinci dan jelas.

“Ini kerana kebanyakan undang-undang (berkaitan keselamatan siber dan jenayah dalam talian) dirangka sebelum 2010. Sebab itu undang-undang perlu dipinda bukan sahaja dari segi substansif, tetapi juga dari segi prosedur supaya kita dapat membantu kerajaan menghadapi isu yang berlaku pada hari ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dia menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin tahu usaha kerajaan bagi mengatasi masalah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.

Azalina berkata penelitian juga sedang dilaksanakan terhadap beberapa peruntukan undang-undang lain seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) bagi membolehkan wang penipuan dikembalikan kepada mangsa.

Menurut Azalina Jawatankuasa Kerja Cadangan Penggubalan Undang-Undang Baru Berkaitan Dengan Kemudaratan Jenayah Dalam Talian telah mengadakan mesyuarat pertama pada 5 Feb lepas dan dipengerusikan secara bersama olehnya, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Sementara itu, dia berkata 71,631 laporan penipuan melibatkan wang berjumlah lebih RM245 juta diterima Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) sejak 12 Okt 2022 hingga 31 Jan lepas.

-Bernama

Kini News Lab: Bolehkah anda terlepas dari scam dalam talian?

Baca: Muslihat minda: Bagaimana penipu manipulasi fitrah manusia untuk perangkap mangsa