Badrul Hisham ketua pengarah JPN baru
Setiausaha Bahagian Pendaftaran dan Pertubuhan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Badrul Hisham Alias dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang baharu berkuat kuasa hari ini.
JPN dalam kenyataan memaklumkan pelantikan itu bagi menggantikan Zamri Misman yang bertukar ke Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri pada 2 Feb lepas.
Badrul Hisham, 52, telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 27 tahun apabila mula dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1997.
Beliau juga pernah berkhidmat di JPN sebagai Pengarah Bahagian Kewangan dan Pembangunan serta Pengarah Bahagian Kad Pengenalan bermula 2015 hingga 2022, sebelum ke KDN sebagai Setiausaha Bahagian Pendaftaran dan Pertubuhan pada 18 Julai 2022.
Selain itu, JPN turut memaklumkan pelantikan Sarinah Apisah sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JPN pada 26 Feb menggantikan Saiful Yazan Alwi yang ditugaskan ke Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA), KDN.
“JPN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Zamri dan Saiful Yazan atas segala sumbangan dan khidmat bakti kedua-duanya kepada JPN,” menurut kenyataan itu.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai