Skip to main
Logo Malaysiakini

Ekonomi parah jika ringgit cecah paras RM5 berbanding dolar - MP PKR

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Seorang ahli parlimen PKR hari ini memberi amaran bahawa ekonomi negara akan menjadi parah jika ringgit mencecah paras melebihi RM5 berbanding dolar AS.

Wong Chen berkata meskipun kejatuhan nilai ringgit adalah bukan kesalahan kerajaan hari ini, kerajaan perlu bersiap sedia mengambil langkah-langkah sewajarnya.

"Kita perlu bersedia untuk mempertahankan garisan ini. Jangan biarkan tanda psikologi melapasi paras RM5.

"Jika kita melebihi paras RM5, ini akan menjadikan keadaan ekonomi negara yang cukup parah untuk semua orang," katanya ketika sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Wong terdahulu mendakwa bahawa kejatuhan ringgit adalah bukan kesalahan kerajaan hari ini.

"Sejak tahun 80an, nilai ringgit merosot berbanding dolar AS dan dolar Singapura walaupun kerajaan mencatatkan lebihan dagangan.

"Kemerosotan ringgit bukan salah kerajaan madani sahaja. Kerajaan hari ini baru setahun jadi kerajaan.

"Ini adalah masalah kroni kapitalisme yang berdekad-dekad yang sudah sampai ke situasi kritikal sekarang.

"Kerajaan tidak lagi mempunyai alasan, reformasi seratus peratus merupakan satu-satunya penyelesaian," katanya.

Dia juga mencadangkan dua penyelesaian jangka pendek untuk mengatasi isu kemerosotan ringgit.

"Yang pertama, arahkan semua GLC dan GLIC untuk bersiap sedia membawa balik ekuiti dan aset negara daripada luar negara.

"Kerajaan perlu galakkan pelabur pemastautin bernilai tinggi (high networth resident investors), berhijrah ke Malaysia.

"Kita perlu menyediakan landasan untuk mereka melabur dan berhijrah ke Malaysia. Ini bermaksud peraturan Imigresen yang efisien dan jelas selain tiada korupsi dalam sistem mereka," katanya.

Pada Selasa lalu, nilai ringgit merosot sekitar RM4.8 bagi satu dolar AS - terendah sejak Krisis Kewangan Asia 1998.

Bagaimanapun Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata situasi ketika ini berbeza dengan ketika 1998, kerana keyakinan pelabur terhadap Malaysia pada masa ini kekal tinggi, manakala inflasi dan pengangguran menurun.

Dia juga berkata nilai mata wang serantau turut merosot, sementara Bank Negara menjelaskan yang ringgit berada di bawah paras sebenar dan sewajarnya diniagakan pada tahap yang lebih tinggi.