Skip to main
Logo Malaysiakini

Soalan Lip Eng terkait dakwaan Shafee ditolak pejabat speaker

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Soalan seorang ahli parlimen yang meminta penjelasan sama ada peguam kanan, Muhammad Shafee Abdullah, melanggar undang-undang atau tidak, hari ini ditolak pejabat Speaker Dewan Rakyat.

Sebelum itu Lim Lip Eng (PH-Kepong) menghantar soalan mengenai isu Shafee mendedahkan butiran mengenai permohonan pengampunan untuk anak guamnya, Najib Razak, untuk ditanyakan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Soalan Lim itu meminta perdana menteri menyatakan adakah kenyataan umum dibuat Shafee - yang memaklumkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah mempertimbangkan untuk member pengampunan penuh kepada Najib - telah melanggar peraturan.

Dalam surat bertarikh 23 Feb, Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin, berkata soalan yang dikemukakan oleh Lim itu adalah “perkara rahsia” justeru melanggar Peraturan Mesyuarat 23(1)(f) dan Peraturan Tetap 23(1)(h).

Menurut Nizam Mydin sesuatu pertanyaan yang dikemukakan tidak boleh meminta keterangan berkenaan apa-apa perkara rahsia.

Soalan juga, kata surat itu, tidak boleh dikemukakan dengan maksud untuk mendapat buah fikiran atau mendapat penyelesaian berkenaan isu undang-undang yang belum menjadi masalah, atau kerana inginkan jawapan mengenai perkara yang dimisal-misalkan saja.

Lim Lip Eng

Ketika dihubungi, Lim berkata dia telah menghantar e-mel kepada Bukit Aman pagi tadi untuk bertanyakan sama ada Shafee telah melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 atau tidak apabila membuat pendedahan tersebut.

Ditanya sama jika dia akan membuat laporan polis berhubung perkara itu, ahli parlimen DAP itu menegaskan, ada kemungkinan dia akan berbuat demikian kemudian.

"Saya bercadang untuk berbuat demikian jika tidak menerima sebarang jawapan daripada polis berhubung soalan saya," katanya kepada Malaysiakini.

Lim sebelum ini meminta Lembaga Pengampunan untuk menjelaskan sama ada Shafee telah melanggar undang-undang atau sebaliknya apabila ketua pasukan pembelaan Najib berbuat demikian pada 7 Feb lalu.

Semasa menunjukkan surat yang memaparkan meterai Agong sebelum ini, Shafee berkata Lembaga Pengampunan menasihatkan baginda supaya Najib menjalani hukuman penuh.

Muhammad Shafee Abdullah

Bagaimanapun Al-Sultan Abdullah yang ketika itu masih menjadi Agong memutuskan untuk memotong separuh daripada hukuman Najib dan mengurangkan jumlah denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Shafee juga mendakwa Al-Sultan Abdullah mahu memberikan pengampunan penuh kepada Najib tetapi proses undian sulit dilakukan untuk mengukur reaksi ahli bukan tetap Lembaga Pengampunan terhadap cadangan tersebut.

Shafee mendakwa surat yang dibacakannya itu bukan suatu rahsia kerana disampaikan kepada Najib serta berstatus dokumen awam.

Dia bagaimanapun mengakui bahawa apa yang berlaku semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan adalah tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

[Baca berita asal]