Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelabur tak yakin sebab k'jaan tak adil pada pembangkang, kata MP PAS

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Seorang wakil rakyat PAS hari ini mendakwa ramai pelabur asing tidak yakin melabur di Malaysia selepas melihat layanan tidak adil kerajaan terhadap pembangkang.

Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berkata dia mengetahui perkara ini kerana mempunyai ramai rakan di luar negara dan telah menghabiskan masa kira-kira 10 tahun belajar di luar negara.

“Timbalan speaker sebelum ini menasihatkan ahli parlimen supaya menggunakan masa perbahasan kita untuk menumpukan isu berkaitan kawasan pilihan raya kita dan sebagainya.

“Saya nak sebut, berapa kali kita fokus kawasan, apa tindakan yang diambil kerajaan kepada pihak pembangkang di kawasan yang kita suarakan kepada kerajaan?

"Ini sikap yang berlaku dalam negara kita dan sikap yang seumpama inilah menyebabkan pelabur-pelabur asing seluruh dunia sebenarnya meletakkan tanda soal yang banyak kepada Malaysia.

"Ikhlas saya sebut, saya juga mempunyai rakan-rakan yang ramai daripada negara-negara luar. Saya duduk belajar 10 tahun di negara-negara luar," katanya.

Nik Zawawi, yang merupakan ahli jawatankuasa pimpinan PAS pusat, berkata demikian ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Dewan Rakyat.

Tambahnya lagi, dia menyeru kerajaan supaya menyahut seruan baginda untuk memacu ekonomi Malaysia dengan bekerjasama membina persefahaman bersama.

Katanya, ini termasuk mengambil iktibar terhadap gesaan ahli parlimen pembangkang untuk semua wakil rakyat diberi peruntukan adil.

Bagaimanapun, Nik Zawawi menegaskan, PAS sudah terbiasa dengan cabaran kewangan dan masih boleh bertahan tanpa bantuan kerajaan.

“Jadi sebab itu saya nak sebut bahawa pelaburan, kita mesti fokus sungguh-sungguh dan kami berlapang dada insya-Allah.

"Kalau untuk menarik pelabur asing masuk di dalam negara kita ini, insya-Allah kami berlapang dada," katanya.