Skip to main
Logo Malaysiakini

Starbucks: Cawangan, pekerja kami diserang ekoran maklumat salah

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Starbucks Malaysia mendakwa maklumat yang salah berkenaan mereka telah membawa kepada tindakan keganasan dan vandalisme di beberapa cawangannya serta serangan terhadap pekerja.

Dalam hantaran di Instagram hari ini, rangkaian kopi itu berkata pihaknya tiada agenda politik dan sentiasa menjunjung nilai kemanusiaan.

"Kami menyokong inisiatif yang bertujuan meningkatkan komuniti tempatan, bagi menunjukkan komitmen kami terhadap tanggungjawab sosial dan pembangunan komuniti," katanya.

Starbucks Malaysia turut berkata mereka "mengutuk kekerasan, kehilangan nyawa orang yang tak berdosa serta semua kebencian".

"Kami ingin merakamkan rasa simpati yang mendalam kepada mereka yang telah terkorban, tercedera, kehilangan tempat tinggal dan terjejas berikutan tindakan keganasan dan kebencian terhadap mereka yang tidak berdosa.

"Doa kami sentiasa bersama anda dan seluruh dunia," katanya lagi.

Hantaran itu tidak merujuk mana-mana isu secara khusus, namun pautan ke laman web Starbucks Malaysia yang disertakan pada hantaran itu jelas menunjukkan ia berkenaan tindakan boikot terhadap perniagaan yang dilihat menyokong Israel yang pada masa ini masih menyasarkan penduduk Palestin.

Dalam artikel di laman itu, yang ditulis menggunakan format soal jawab, syarikat itu menegaskan ia bukan organisasi politik dan menafikan memberi sokongan kewangan kepada Israel.

"Pernahkah Starbucks Menyalurkan Keuntungannya Kepada Kerajaan Israel dan/atau Tentera Israel?

Tidak, ini sama sekali tidak benar," menurut laman itu.

Starbucks Malaysia juga berkata mereka adalah milik penuh syarikat awam tersenarai Malaysia dan setakat ini, memiliki 400 cawangan dengan lebih 5,000 pekerja, termasuk golongan kurang upaya.

"Selama lebih 25 tahun, kami konsisten dalam menunjukkan komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat, termasuk sokongan aktif untuk komuniti tempatan, kerajaan dan NGO melalui pelbagai inisiatif secara langsung," katanya.

Artikel di laman Starbucks pula menjelaskan mereka tiada cawangan di Israel.

"Kami memutuskan untuk membubarkan perkongsian kami di Israel pada tahun 2003 disebabkan oleh cabaran operasi berterusan yang kami alami dalam pasaran itu. Kami percaya ia kekal sebagai keputusan yang tepat untuk perniagaan kami," katanya lagi.

Pada 22 Februari lalu, pemilik francais Starbucks Malaysia, Berjaya Food Berhad mengumumkan pendapatan mereka merosot sebanyak 38 peratus bagi pendapatan suku tahun ke suku tahun, ekoran boikot ke atas jenama utamanya, Starbucks Coffee.