Skip to main
Logo Malaysiakini

TPM syor tubuhkan Perbadanan Tanah Bumiputera

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Perbadanan Tanah Bumiputera antara tiga ikhtiar pemerkasaan Bumiputera yang dicadangkan bagi mewujudkan kestabilan ekonomi dan pemeliharaan identiti kebangsaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Jelasnya perbadanan ini bertanggungjawab untuk merangka mekanisme yang membolehkan pemilikan tanah Bumiputera ditingkatkan dan dimanfaatkan pada masa hadapan.

"Ikhtiar pertama: Perbadanan Tanah Bumiputera. Bagi mengekalkan pemilikan tanah Bumiputera yang menjadi asas kepada kestabilan ekonomi dan pemeliharaan identiti kebangsaan, saya menganjurkan agar diwujudkan Perbadanan Tanah Bumiputera.

"Perbadanan ini bertanggungjawab untuk merangka mekanisme yang membolehkan pemilikan tanah Bumiputera ditingkatkan dan dimanfaatkan pada masa hadapan.

"Adalah disyorkan, semua tanah-tanah berstatus pajakan melebihi 50 ekar bagi kawasan pertanian ataupun plot-plot industri yang melebihi 20 ekar, apabila sampai tempoh tamat pajakan dan dipohon untuk penyambungan, 20 peratus daripada tanah berkenaan hendaklah diserahkan semula kepada kerajaan dan diurustadbir melalui perbadanan ini," katanya ketika menyampaikan ucaptama Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Hadir sama, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Abdul Ghani.

KEB2024 bermula hari ini akan berakhir 2 Mac nanti bakal dirasmikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera merupakan langkah proaktif untuk menjamin keseimbangan demografi kaum, mewujudkan kelangsungan kawasan usaha Bumiputera bagi tujuan pertanian, perindustrian dan penempatan baru serta usaha tambahan mengekalkan pemilikan Bumiputera.

"Langkah ini saya percaya dapat memberi pulangan dan peluang yang lebih besar kepada Bumiputera untuk memiliki sebahagian daripada aset tanah negara," katanya lagi.

Ikhtiar kedua yang digariskan Ahmad Zahid ialah waqaf kesihatan dan pendidikan yang akan menjamin perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang berterusan kepada Bumiputera.

Katanya, ia sebagai usaha untuk mendepani isu-isu kenaikan kos perkhidmatan kesihatan dan pendidikan kepada golongan seperti asnaf, warga emas dan kumpulan sasar yang terjejas.

"Demi kesejahteraan Bumiputera saya menganjurkan sistem caruman daripada syarikat-syarikat GLC, GLIC, yayasan badan amanah dan orang perseorangan untuk bersama menjayakannya.

"Semoga ini menjadi asbab yang mengundang keberkahan daripada Allah SWT," kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ikhtiar ketiga yang diketengahkan ialah mengindustrikan pertanian yang bertujuan untuk melibatkan Bumiputera dalam sektor pertanian tanaman makanan yang berskala besar, serta dapat menjamin pengeluaran sumber makanan negara.

"Saya mengambil contoh kejayaan Felda dan Felcra dalam membangun dan memajukan pertanian tanaman komoditi, yang telah menjadikan negara kita antara pengeksport kelapa sawit dan getah terbesar dunia.

"Kita sedar sebahagian masyarakat bumiputera tidak mempunyai tanah yang begitu besar, keluasannya juga mungkin tidak ekonomikal di samping kekangan kewangan untuk mengusahakannya," katanya lagi.

Namun, menurut Zahid sekiranya tanah-tanah berkenaan dapat disatukan dan dibangunkan secara skala besar, pastinya setiap pemilik tanah dapat memperolehi manfaat yang berterusan disamping membantu meningkatkan sosio-ekonomi setempat.