Skip to main
Logo Malaysiakini

K’jaan lancar dasar bumiputera baru bermanfaat untuk semua kaum

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Kerajaan hari ini mengemas kini konsep dan persepsi pemerkasaan bumiputera kepada yang serasi dengan masyarakat berbilang kaum.

Dalam melancarkan agenda bumiputera baru, yang dinamakan Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB), Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menggambarkan rancangan itu sebagai sesuatu yang bermanfaat kepada semua rakyat di Malaysia.

Zahid berkata TEB mempunyai tiga matlamat iaitu keadilan sosio-ekonomi; kemampanan negara bangsa; dan kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.

“Ketiga-tiga matlamat utama ini bagi memastikan, dasar dan pelaksanaan agenda ekonomi negara, bukan sahaja menjamin penglibatan dan hak Bumiputera tetapi pada masa yang sama memastikan wujudnya kesalingan atau synergy dengan bukan Bumiputera.

“Mahu atau tidak, rela atau tidak, kesalingan antara kaum amat penting dalam memugar aktiviti ekonomi negara.,” ketika menyampaikan ucaptama pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini.

Menurut presiden Umno itu, matlamat tersebut bertujuan untuk memadamkan naratif bahawa ekonomi dikawal oleh minoriti - yang katanya menyebabkan rasa tidak senang di kalangan kaum majoriti, yang membawa kepada ketegangan sosial.

Mengulas lanjut mengenai matlamat pertama untuk keadilan sosio-ekonomi, Zahid berkata TEB bertujuan untuk merapatkan jurang antara rakyat Malaysia dan memastikan bumiputera tidak ketinggalan.

Dia berkata kerajaan mahu memecahkan belenggu pemikiran kalangan Bumiputera bahawa bidang kemahiran bukanlah pilihan kedua tetapi sebaliknya menjadi pilihan utama industri.

Katanya, usaha itu diyakini mampu meningkatkan peratusan pekerja mahir Bumiputera yang kini berada pada tahap 29.1 peratus berbanding kaum-kaum lain.

“Dengan TEB kita akan terus memastikan peranan agensi-agensi amanah Bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Usahawan

Nasional Berhad (PUNB), Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Tabung Haji serta lain-lain akan lebih terkehadapan dalam pengupayaan Bumiputera bagi semua sektor perekonomian,” katanya.

Mengenai matlamat kedua kemampanan negara bangsa, Zahid berkata TEB mesti menjadi dasar yang merangsang ekonomi bumiputera dan membawa masuk pelaburan.

Dia berkata mereka juga mesti menyasarkan untuk menjadi pemain ekonomi antarabangsa dan bukannya hanya menumpukan kepada pasaran domestik.

Mengenai perkara ini, katanya peranan wanita juga harus diperkasakan.

Bagi matlamat ketiga, kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat, Zahid berkata apabila ekonomi bumiputera bertambah baik, ekonomi negara juga akan meningkat.

Dia berkata TEB tidak akan memberi tumpuan kepada memperkasakan golongan korporat semata-mata, tetapi juga rakyat biasa dengan matlamat menggalakkan kebebasan kewangan yang akan membawa kepada peningkatan kualiti hidup untuk semua.

Selain tiga matlamat TEB, Zahid berkata dasar itu mempunyai enam tekad.

Pertama, mempertahankan agenda bumiputera yang sedia ada, antaranya mengenai pemilikan ekuiti, pendidikan, dan pemilikan tanah.

Sebagai contoh, Zahid berkata matlamat pemilikan ekuiti bumiputera 30 peratus Dasar Ekonomi Baru masih belum tercapai, dengan pada masa ini hanya pada 17.2 peratus.

Justeru, dia berkata usaha mencapai matlamat itu perlu diteruskan.

Tekad kedua adalah untuk menutup ketirisan semasa melaksanakan inisiatif bumiputera, termasuk pada peringkat penerima.

Tekad ketiga adalah untuk mewujudkan kesetaraan antara wilayah, kaum dan kelompok.

Menjelaskan perkara ini, Zahid berkata perlu ada keseimbangan dalam peluang antara wilayah semenanjung, Sabah dan Sarawak, kaum dan juga kelompok-kelompok masyarakat.

“Langkah ini akan dapat memastikan pemerkasaan agenda Bumiputera lebih merata dan pada masa yang sama rantaian peluang ini juga memberikan limpahan serta manfaat kepada kaum-kaum lain dan kelompok masyarakat dalam kaum-kaum di negara ini,” katanya.

Tekad keempat adalah untuk mengenal pasti peluang baharu, dan mengikuti trend dan faktor yang mempengaruhi keperluan ekonomi dan industri seperti pembangunan dan penggunaan Artificial Intelligent (AI) dan teknologi digital serta automasi.

Tekad kelima ialah untuk mewujudkan jalinan tulen antara ekonomi bumiputera dan bukan bumiputera.

“Melalui TEB, kita tidak mahu lagi wujudnya aktiviti ekonomi hanya atas nama Bumiputera sahaja.

“Kita mahu Ali dan Baba yang benar-benar berfungsi melaksanakan kita tidak mahu lagi mewujudkan aktiviti ekonomi yang bumiputera pada nama sahaja.

“Bukannya ‘Ali Baba’ yang memanipulasi peluang dan mengambil jalan mudah mengaut keuntungan,” katanya.

Tekad keenam adalah menjamin untuk tidak meminggirkan atau menafikan hak kaum lain memastikan kaum lain.

Zahid mendakwa, sejarah telah membuktikan bahawa usaha kerajaan memperkasa Bumiputera tidak sesekali menyebabkan mana-mana kaum lain di negara ini terpinggir.

“Begitu juga dengan pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) ini, hak pelbagai kaum akan terus dijamin.” katanya.

Akhir sekali, Zahid berkata TEB juga mempunyai tiga ikthiar.

Pertama, mewujudkan Perbadanan Tanah Bumiputera untuk meningkatkan pemilikan tanah bumiputera dan memastikan demografi kaum yang seimbang, kelangsungan bagi tanah pertanian dan perindustrian serta penempatan baharu.

Ikthiar kedua adalah waqaf kesihatan dan pendidikan.

Zahid mencadangkan rancangan Waqaf Sihat dan Didik Bumiputera (Sidik) - yang antara lain akan menyediakan kemudahan dan kemudahan kesihatan, membiayai rawatan bagi penyakit kronik, pendanaan biasiswa, dan memperkasakan program pembangunan.

Ikhtiar ketiga adalah mengindustrikan pertanian.

Dalam ucapan penutupnya, Zahid mengakui wujud kelemahan dalam melaksanakan agenda bumiputera sebelum ini, tetapi kini sudah tiba masanya untuk fokus ke hadapan.

Katanya, kesilapan dan kelemahan dahulu, adalah suatu pengajaran.

“Menangisi atau meratapi bukanlah jawapannya. Sebaliknya bangkit semula daripada kelemahan dan kesilapan lalu dengan tekad yang baharu, adalah semangat yang sepatutnya diangkat melalui kongres kali ini.

“Kita tidak perlu apologetic untuk membicarakan agenda-agenda besar Bumiputera kerana kita tidak pernah meminggirkan atau menindas hak kaum-kaum lain. Malah santunnya bumiputera sentiasa menghormati kontrak sosial yang menjadi asas keharmonian negara,” katanya.