Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar: Aneh, pembangkang membisu SPRM siasat 'maha kaya'

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyelar tindakan pembangkang yang didakwa membisu dan tidak menyatakan sokongan terhadap usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyiasat golongan ‘maha kaya’ yang dikaitkan dengan isu rasuah.

Malah, Anwar mendakwa ada kalangan pemimpin pembangkang membela tokoh besar 'maha kaya' yang berdepan siasatan oleh agensi rasuah berkenaan.

Kata Anwar, lebih malang lagi apabila pendakwaan dibuat pihak berkenaan bertindak menyalahkannya dengan menuduh ia kerana ‘dendam kesumatnya’.

“Saya lihat di parlimen, pembangkang mengelupur seolah-olah marah, benci dan tak ada suara pembangkang yang sokong langkah membanteras rasuah. Bagi saya aneh.

“Saya semasa menjadi pembangkang, bila ada cadangan pemerintah (berkenaan) usul SPRM, saya dukung. Malah saya kata belum cukup berani (tindakan diambil kerajaan).

“Baru-baru ini ada tindakan SPRM terhadap salah satu tokoh besar yang dianggap paling maha kaya. Belum ada suara daripada pembangkang,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024 di Kuala Lumpur, hari ini.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Anwar dipercayai merujuk kepada bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan isterinya Na'imah Abdul Khalid yang menuduh perdana menteri menyimpan dendam lama apabila SPRM melancarkan siasatan ke atas kekayaan mereka.

Daim dan Naimah masing-masing didakwa pada 29 dan 23 Jan kerana gagal mengisytiharkan harta mereka kepada SPRM.

Suruhanjaya anti rasuah itu juga sebelum ini mengarahkan anak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad - Mirzan dan Mokhzani - untuk mengisytiharkan harta mereka.

Sementara itu, Anwar menegaskan kerajaan memberi jaminan tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pimpinan kerajaan yang didakwa terlibat salah guna kuasa atau rasuah.

Tegasnya, pihak berkuasa berkaitan termasuk SPRM bebas menyiasat mana-mana pemimpin kerajaan.

Jika benar ada dakwaan dan dibuktikan terlibat rasuah, Anwar berkata dia sendiri tidak teragak-agak untuk menggugurkan individu berkenaan daripada barisan kabinet.

“Tetapi peringatan itu jelas, SPRM takkan mungkin mengecualikan siasatan ke atas pimpinan yang ada sekarang atau memantau setiap tender atau keputusan yang dibuat.

“Kalau ada saya katakan jangan tanya saya, persila ambil tindakan dan orang-orang berkenaan wajib digugurkan, baru boleh negara ini selamat,” katanya.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata setakat ini dia bangga imej bersih kepimpinannya apabila tiada mana-mana pemimpin yang terbukti terlibat dengan aktiviti rasuah.

Perdana menteri juga menggesa mana-mana pihak untuk tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa jika mempunyai bukti mengenai rasuah dalam kalangan pemimpin kerajaan.

“Sudah setahun lebih kita perintah, banyak diserang tetapi saya tanya di Parlimen dan luar Parlimen, beri satu bukti menteri atau Perdana Menteri sekarang, kalau ada yang rasuah.

“Tanya Tan Sri Azam Baki, kalau ada siasat, kita siasat, dakwa dan ikut badan kehakiman (untuk) hukum,” tambah beliau.

Kerajaan Anwar mengundang bidasan daripada pelbagai pihak tahun lalu susulan tindakan Peguam Negara memohon pembebasan tanpa pembebasan (DNAA) ke atas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan rasuah.