Skip to main
Logo Malaysiakini

'Budaya Ali Baba punca bumiputera ketinggalan'

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Bumiputera ketinggalan dalam bidang keusahawanan disebabkan budaya ‘Ali Baba’, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Abdul Ghani.

Bekas menteri kewangan II itu berkata, dalam tempoh 25 tahun kerajaan telah mengagihkan kontrak ataupun projek dianggarkan bernilai RM1.7 trillion kepada usahawan bumiputera.

Namun, katanya, amat malang dalam konsep ‘Ali Baba’ ini menyaksikan usahawan bumiputera yang mengalami kerugian berbanding “ejen” bumiputera.

"Dia (bumiputera) masuk nak berniaga dalam kerajaan, tapi tak bersedia, inilah datangnya konsep ‘Ali Baba’...ambil kaum bukan bumiputera yang tak bersedia dan bumiputera yang tak bersedia.

"Waktu saya duduk jadi menteri kewangan II, dalam tempoh 25 tahun sebanyak RM1.7 trilion projek telah diberikan kepada bumiputera...beri pada bumiputera akhirnya yang dapat manfaat mereka yang jadi ejen kepada bumiputera.

"Ada (ejen bumiputera) yang jadi pemain (industri) di peringkat antarabangsa," katanya ketika sesi diskusi Madani Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini.

Turut menjadi ahli panel Timbalan Menteri Pedagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong dan Timbalan Menteri Keusahawanan R Ramanan.

Budaya ‘Ali Baba’ sering dirujuk sebagai sistem perniagaan yang memakai nama Melayu (Ali) atau kelihatan saja dimiliki atau diuruskan oleh orang Melayu tetapi sebenarnya diselenggarakan oleh bangsa lain (Baba).

Dalam pada itu Johari berkata, kerajaan perlu memiliki pangkalan khusus bagi tujuan ini bagi mencegah budaya ‘Ali Baba’.

"Kita tidak mahu lagi konsep Ali Baba ini, kita hendak bagi kepada bumiputera tulen, kalau ada polisi atau dasar baru, kena bagi kepada bumiputera tulen.

"Saya telah cadangkan kita kena ada satu pangakalan data...pangakalan data yang kerajaan kawal, dia tahu bumiputera tulen. Tidak boleh di MOF (Kementerian Kewangan) lain, di MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia) lain, di kementerian lain, tidak boleh," katanya.

‘Ali’ dan ‘Baba’ yang berfungsi

Terdahulu ketika menyampaikan ucaptama KEB2024 Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyentuh mengenai budaya ‘Ali Baba’ antara bumiputera dan bukan bumiputera yang telah lama wujud.

Ahmad Zahid berkata kerjasama ekonomi di antara bumiputera dan bukan bumiputera telah wujud sejak zaman Dasar Ekonomi Baharu (DEB), namun, sebahagian jalinan itu masih boleh dipertikaikan ketulenannya.

Ahmad Zahid berkata dia cenderung untuk melihat “Ali” dan “Baba” yang benar-benar berfungsi melaksanakan aktiviti perniagaan, serta terlibat dengan pengurusan, pentadbiran dan pelaksanaan perniagaan.

Sementara itu, Liew menepis stereotaip bahawa masyarakat Cina itu golongan yang kaya dan orang Melayu kaum miskin di negara ini.

"Bukan semua Cina kaya raya, persepsi kita jadikan Cina kaya dan Melayu miskin itu tak betul, kita perlu tengok siapa supaya kita ada gambaran jelas," katanya.

Tambah Liew, Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah mewujudkan kumpulan pertengahan Melayu.

Katanya, DEB juga meletakkan populasi bumiputera semakin meningkat di kawasan bandar dan tidak lagi sinonim dengan kawasan kampung semata-mata.

"Sebelum ini 17 peratus orang Melayu bermastautin di bandar, sekarang Melayu lebih 70 peratus bermastautin di bandar," katanya.