Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis selesai siasatan kes kereta Nga 'cucuk' ambulans

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Polis telah menyelesaikan siasatan terhadap kes kenderaan rasmi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengekori sebuah ambulans di Lebuhraya Utara-Selatan bulan lepas.

“Penyiasat telah menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat pendakwaan Perak dan kini sedang menunggu arahan lanjut,” kata Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri dalam mesej melalui seorang pegawai.

Dia juga menjelaskan bahawa kes itu masih belum dibawa ke mahkamah seperti yang dilaporkan oleh beberapa media awal hari ini.

Pada 3 Feb lepas, satu insiden mengenai kenderaan Nga mengekori rapat ambulans dalam perjalanan ke lokasi kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan dari Simpang Pulai ke Tapah, di Perak tular di media sosial.

Kes itu disiasat di bawah Peraturan 9 (2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang menetapkan pemandu mesti memberi laluan kepada kenderaan kecemasan dengan lampu siren yang menyala.

Pada 9 Feb, Nga berkata dia bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung perkara itu dan menyelesaikan sebarang denda kompaun yang dikenakan ke atas pemandunya atas kesalahan itu.

Naib pengerusi DAP itu mendedahkan bahawa dia dalam perjalanan untuk menghadiri program rasmi di Ipoh ketika kejadian.

“Saya tegaskan bahawa saya sentiasa mengutamakan usaha menyelamat dan tidak berniat melanggar undang-undang.

“Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan bersedia untuk menjelaskan sebarang denda yang dikenakan ke atas pemandu saya jika dia didapati melakukan kesalahan,” tambahnya.

Nga berkata apabila pemandunya menyedari ambulans berada di belakang kereta, dia membenarkannya melalui kenderaan itu.

“Memandangkan jalan raya sesak, pemandu saya terpaksa mengekori ambulans sambil mencari ruang untuk meneruskan perjalanan ke Ipoh,” jelasnya.