Skip to main
Logo Malaysiakini

Perhilitan K'tan tangkap gajah liar di Kampung Laloh

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor gajah liar jantan di Kampung Laloh, Kuala Krai di Kota Bharu pada Selasa lepas.

Perhilitan Kelantan dalam kenyataan semalam memaklumkan haiwan itu ditangkap selepas menerima aduan gangguan gajah liar daripada penduduk kampung berkenaan.

Menurut kenyataan itu, tangkapan haiwan liar terbabit melegakan penduduk di kawasan terlibat seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan dialami penduduk akibat kemusnahan tanaman dan harta benda berikutan konflik gajah itu.

"Sebanyak 10 anggota daripada Perhilitan Daerah Kuala Krai dan Unit Tangkapan Gajah Negeri Kelantan telah menjalankan pemantauan dalam menangkap gajah liar terbabit,” menurut kenyataan itu.

Perhilitan menjelaskan operasi pemindahan dan pelepasan gajah liar itu ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dijalankan esok dengan bantuan dua ekor gajah denak (Kasturi dan Sanum) serta 12 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Operasi berkenaan turut melibatkan 10 kakitangan Perhilitan Kelantan.

Menurut kenyataan itu, tindakan tangkapan dan pemindahan gajah liar itu bukan penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan kebun berkenaan berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal Sungai (HSK) Rek yang mempunyai anggaran populasi gajar liar lebih 20 ekor.

Sementara itu, tindakan bagi mengurangkan konflik yang berlaku di kawasan berkenaan telah dijalankan dengan memberi khidmat nasihat kepada penduduk khususnya pekebun agar mengambil langkah-langkah mitigasi.

"Antaranya memasang lampu LED biru di laluan yang dikenal pasti laluan masuk gajak ke kebun serta membina Sistem Pagar Elektrik Gajah di sekeliling kawasan kebun,” menurut kenyataan itu.

- Bernama