Skip to main
Logo Malaysiakini

Norway dijemput sertai sidang kawal selia telekomunikasi Asean

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Malaysia berhasrat untuk menjemput badan kawal selia telekomunikasi dari negara Norway untuk mengambil bahagian dalam persidangan melibatkan badan kawal selia telekomunikasi Asean yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur Mei depan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata program Regulatory Round Table Meeting (RRM) dan International Regulatory Conference (IRC) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang dijadualkan pada 6 dan 7 Mei depan antara lain bagi membincangkan pelbagai isu, termasuk persediaan dalam menghadapi teknologi baru.

Katanya pengalaman daripada badan kawal selia Norway serta beberapa negara lain yang menyertai perbincangan itu boleh membantu SKMM serta badan kawal selia negara Asean supaya bersedia menghadapi perkara berkenaan.

"Isu kecerdasan buatan (AI) serta generatif AI sangat penting dan banyak dibincangkan semasa Mobile World Congress 2024 di Barcelona tempoh hari, juga di peringkat Kesatuan Eropah.

"Kita di Asean juga perlu memainkan peranan penting (dari sudut kawal selia) kerana banyak pengkalan data juga akan ditempatkan di Malaysia," katanya kepada Bernama.

Fahmi berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat 'Meja Bulat Komunikasi Generasi Seterusnya' anjuran Kumpulan Telenor di ibu pejabat Global Telenor Kampus Fornebu, di Oslo, Norway.

Perbincangan meja bulat itu disertai wakil daripada kerajaan Norway, Norwegian Communications Authority, pakar-pakar Telenor dan perintis industri serta rakan kongsi luaran Digital Norway dan persatuan perniagaan, Abelia.

- Bernama