Skip to main
Logo Malaysiakini

Beri diskaun bumiputera beli banglo RM2 juta tak sesuai - pengerusi Bursa

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Pengerusi Bursa Malaysia Abdul Wahid Omar menyarankan penghapusan diskaun kepada bumiputera untuk pembelian kediaman mewah.

Bekas menteri di JPM yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (UPE) itu berkata agenda pemerkasaan bumiputera akan berjaya jika perlaksanaannya berdasarkan keperluan dan kelayakaan.

“Kalau kita nak berikan diskaun kepada bumiputera yang hendak beli banglo bernilai RM2 juta itu tidak sesuai dan tidak berdasarkan kepada keperluan.

"Sebab apabila kita melaksanakan polisi sebegini ia akan mendatangkan ketidakpuasan hati dalam kalangan bukan bumiputera.

"Ini bermakna berdasarkan kaum dan tidak kepada keperluan," katanya pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Putrajaya.

Wahid yang juga bekas CEO Maybank mencadangkan dana dikumpul daripada hasil diskaun tersebut digunakan untuk membantu mereka yang berpendapatan rendah membeli rumah.

"Jangan beri diskaun (beli banglo mewah) dan ia (dana itu) harus dimasukkan ke dalam tabung perumahan untuk pemilikan tanah rakyat yang kurang berkemampuan.

“Apabila kita melaksanakan polisi berdasarkan keperluan insya-Allah akan mendapat sokongan oleh semua dan lebih berkesan,” katanya lagi.

Abdul Wahid juga berkata penting dasar pemerkasaan bumiputera dilebarkan kepada sektor swasta.

“Pendekatan kita selama ini banyak fokus kepada sektor awam. Kalau dulu sektor awam menyumbang kepada separuh daripada ekonomi negara. Tapi pada 2023 sektor awam termasuk pelaburan dan penggunaan menyumbang hanya 17.8 peratus daripada KDNK negara.

“Selebihnya paing besar 76.2 peratus sumbangan pelaburan dan penggunaan di sektor swasta. Bermakna ekonomi sektor swasta ini adalah 4.3 kali ganda lebih besar berbanding sektor awam.

“Jadi kalau dasar pemerkasaan dan polisi hanya berfokus sektor awam sampai bila pun penyertaan pemilikan dan penguasaan bumiputera akan rendah,” katanya.

Sebelum ini, Wahid memberitahu KEB 2024 bahawa hanya satu daripada 97 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun lepas merupakan milik bumiputera.

Angka tersebut, kata pengerusi Bursa Malaysia itu mencerminkan penyertaan sebenar bumiputera dalam sektor perniagaan.

"Ini berikan kita satu wake up call," kata Abdul Wahid.

Bagaimanapun, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim (gambar atas) berkata kaum bumiputera tidak perlu bimbang kerana golongan atasannya menguasai segala-galanya.

Zaid juga berkata Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 tidak akan mendatangkan apa-apa hasil yang berguna atau relevan kepada masyarakat bumiputera "kelas bawahan."

KEB 2024 berlangsung selama tiga hari bermula 29 Feb lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Ini merupakan kongres kelapan sejak 1965.