Skip to main
Logo Malaysiakini

Penganjur perarakan wanita dakwa polis enggan terima notis perhimpunan

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Jawatankuasa penganjuran Women’s March Malaysia (WMMY) 2024 mengecam polis yang didakwa enggan menerima notis yang dihantar mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, untuk acara itu.

Jawatankuasa itu berkata, pihaknya telah berusaha empat kali, pada 2 dan 3 Mac, untuk menyerahkan notis kepada polis tetapi gagal.

"Pada Jumaat (1 Mac), tiga percubaan dibuat untuk memberi makluman kepada polis berkenaan perarakan kami yang dijadual pada 9 Mac ini di Sogo, Kuala Lumpur.

"Percubaan pertama dibuat oleh seorang ahli jawatankuasa pada pagi (Jumaat) di IPD Dang Wangi.

"Dokumen kami dilihat oleh seorang pegawai di Dang Wangi. Namun dia enggan mengecopnya secara rasmi," katanya dalam kenyataan.

Pada hari sama, dakwa jawatankuasa WMMY lagi, dua lagi percubaan dibuat menerusi kurier yang dialamatkan ke IPD Dang Wangi namun pihak polis enggan menerima notis tersebut.

Semalam pula, mereka berkata peguam telah ke balai polis Dang Wangi untuk sekali lagi menyerahkan notis itu, tetapi juga tidak diterima.

Jawatankuasa WMMY menegaskan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan setiap warga ada hak terhadap kebebasan bersuara dan semua warga ada hak untuk berhimpun secara aman.

"Jawatankuasa penganjuran WMMY 2024 telah cuba mengambil semua langkah yang wajar untuk memaklumkan pihak berkuasa yang bertanggungjawab dan mematuhi peraturan yang ditetapkan sebelum perarakan.

"Esok adalah hari terakhir untuk kami serahkan notis. Satu percubaan terakhir akan dibuat oleh kami dan peguam di IPD Dang Wangi," kata jawatankuasa itu lagi.

Permit tidak lagi diperlukan untuk perhimpunan selepas Akta Perhimpunan Aman 2012 diwartakan bagi menggantikan Seksyen 27, 27A, 27B dan 27C Akta Polis 1967.

Seksyen 9(1) menyatakan penganjur perlu memaklumkan pegawai yang bertanggungjawab dalam daerah polis di mana himpunan akan diadakan, lima hari sebelum himpunan tersebut diadakan.