Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebih 200 nombor telefon disekat pada Januari, disyaki terlibat penipuan

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSCR) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kerjasama syarikat telekomunikasi pada Januari lalu telah menyekat atau menyah aktif 224 nombor telefon yang disyaki terlibat dalam penipuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) berkata NSRC, berdasarkan aduan awam, mengenal pasti 131 nombor dan kemudian menyekatnya, manakala 93 nombor lagi dinyah aktif.

"Nombor-nombor ini juga direkod dalam sistem 'Semak Mule' polis sebagai rujukan awam sebelum sebarang transaksi diteruskan," kata Kulasegaran ketika sesi soal jawab di Parlimen hari ini.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding 155 tindakan yang diambil SKMM antara Oktober 2022 hingga Ogos tahun lalu.

Dalam tempoh sama juga, tiada tindakan diambil terhadap 1,577 laporan penipuan menerusi telefon atas pelbagai sebab, termasuk kekurangan bukti berlakunya penipuan.


Baca: Muslihat minda: Bagaimana penipu manipulasi fitrah manusia untuk perangkap mangsa


Kulasegaran berkata lagi, terdapat 107,716 penipuan menerusi telefon yang dilaporkan antara 2020 hingga 2023, dengan anggaran kerugian RM3.2 bilion.

NSRC adalah pusat sehenti untuk penipuan kewangan dan ditubuhkan pada Oktober 2022 untuk menyelaraskan tindakan oleh polis, Bank Negara Malaysia, SKMM dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, serta disokong oleh institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi.

"Sebaik sahaja laporan diterima, NSRC dapat mengesan wang mangsa. Jika wang mereka masih dalam sistem bank, tindakan akan diambil untuk membekukannya.

"Ini akan membolehkan wang dikembalikan kepada mangsa," katanya lagi.


MAIN PERMAINAN: Bolehkah anda terlepas dari scam dalam talian?