Skip to main
Logo Malaysiakini

Mana pergi beras tempatan, soal Muhyiddin pada PM

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin meminta perdana menteri memberi penjelasan terperinci mengenai isu beras negara.

Dia juga mempersoalkan kerajaan yang dikatakan kurang bertindak dalam menyelesaikan isu kekurangan beras yang dihadapi rakyat, membandingkan ketika pentadbirannya menghadapi isu yang sama.

“Saya pernah menguruskan isu berkaitan beras semasa saya dalam pertanian dan perdagangan dalam negeri, dan kami tidak pernah berdepan isu tiada beras di pasaran atau kenaikan harga beras.

“Pada masa itu, beras diuruskan oleh Bernas (Padiberas Nasional Bhd). Sekarang, saya tidak mengatakan saya bersetuju dengan monopoli 100 peratus, tetapi ia menimbulkan persoalan.

“Sepatutnya lebih banyak beras tempatan (di pasaran) berbanding beras import tetapi perkara sebaliknya berlaku.

“Ke mana perginya semua beras tempatan? Sehingga hari ini tiada jawapan daripada kerajaan,” katanya semasa perbahasan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata campur tangan kerajaan Madani adalah kritikal dan keputusan segera perlu dibuat bagi memastikan bekalan dan harga makanan ruji rakyat kekal stabil.

Perdana menteri berkata dia masih menerima aduan berhubung bekalan beras putih tempatan (BPT) walaupun bekalan dan harga BPT di pasaran domestik secara amnya terkawal.

Dia juga meminta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyelaras lebih banyak sesi libat urus mengenai isu itu dan membentangkan hasil pada mesyuarat Majlis Tindakan Kebangsaan Mengenai Kos Sara Hidup (Naccol) pada 20 Mac, sebelum dikemukakan untuk pertimbangan kabinet.

Sementara itu, Muhyiddin memetik kos sara hidup dan ekonomi yang mencabar sebagai antara isu utama yang dihadapi orang ramai ketika ini.

Semasa ucapannya, dia berkata rakyat memilih untuk mengekalkan mata wang asing berbanding ringgit kerana kurang keyakinan untuk ringgit kembali kukuh.

“Apa makna nilai ringgit jatuh? Maknanya, rakyat Malaysia sendiri pun tidak yakin kepada ringgit.

“Mereka tidak mahu simpan ringgit kerana bimbang nilainya akan terus menurun. Jadi mereka memilih untuk menyimpan dalam mata wang asing.

“Kenapa tak yakin? Sebab tak yakin dengan keupayaan perdana menteri menguruskan ekonomi dengan baik,” katanya.

Presiden Bersatu itu turut menggesa kerajaan mengkaji semula dasar subsidi petrol dan dieselnya.