Skip to main
Logo Malaysiakini

Dewan Rakyat kecoh gara-gara isu komunis, kampung baru Cina

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Perbalahan tercetus di Dewan Rakyat hari ini selepas seorang ahli parlimen PN berkata langkah menjadikan kampung baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco hanya akan mengiktiraf perjuangan komunis.

Ismail Abdul Muttalib (PN-Maran) berkata demikian ketika mengkritik cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming agar kampung baru Cina dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco bagi mengiktiraf nilai kebudayaan dan sejarahnya.

Ismail juga mempersoalkan kewajaran Nga ketika mengutarakan cadangan itu, dan membangkitkan pewujudan penempatan itu sebagai langkah untuk mengekang pengaruh komunis.

"Jika kita jadikan kampung baru sebagai tapak warisan, itu hanya akan mengesahkan komunis, satu zaman gelap negara," katanya.

Susulan itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) yang menghalang ahli parlimen untuk menggunakan perkataan yang boleh menimbulkan rasa sakit hati atau permusuhan antara kaum.

Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) dan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) kemudian bersama-sama meminta Ismail untuk menarik balik kenyataannya yang mengaitkan kampung baru dengan komunis.

Namun Ismail bertegas yang penempatan itu diwujudkan untuk "menyelamatkan" masyarakat Cina dan juga Melayu daripada pengaruh komunis.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau akhirnya mengarahkan Ismail untuk menarik balik kenyataannya dan dia akur dengannya.

Sebelum ini, penyelidik Centre for Malaysian Chinese Studies PK Voon berkata kampung baru Cina pada asasnya adalah "kem tumpuan (concentration camp)" oleh tentera British.

Menurut laporan South China Morning Post program penempatan semula itu bertujuan "menghimpun dan melindungi" keluarga daripada "pengaruh perompak", iaitu Parti Komunis Malaya.

Dalam sidang media di Dewan Rakyat selepas itu, Ismail menegaskan yang dia hanya menyatakan sejarah di sebalik kewujudan kampung baru Cina.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) pula berkata ahli parlimen DAP yang mengkritik kenyataan Ismail itu seharusnya menulis semula sejarah jika mereka tidak dapat menerima fakta sebenar.

"Saya cabar kerajaan dan DAP, jika anda tak setuju dengan fakta (berkenaan kampung baru Cina), pinda silibus sejarah di sekolah," katanya.