Skip to main
Logo Malaysiakini

EDITORIAL | Malaysiakini bantah kod etika kerajaan terhadap media

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

EDITORIAL | Malaysiakini memandang serius keputusan kerajaan untuk memperkenalkan kod etika wartawannya sendiri, yang turut memberi kuasa kepada Jabatan Penerangan untuk membatalkan kad media.

Kami setuju bahawa media harus menegakkan kepentingan awam, sentiasa tepat, memberikan hak untuk menjawab, berintegriti, adil, melindungi sumber berita, mengelakkan konflik kepentingan, memahami undang-undang dan sentiasa berusaha ke arah penambahbaikan.

Namun, pendirian kami adalah kawal selia harus dilaksanakan oleh media sendiri menerusi sebuah majlis media atau badan seumpamanya, bukannya kerajaan.

Kerajaan mengatakan yang kod etika hanyalah kemas kini daripada Etika Kewartawanan yang dikeluarkan Malaysian Press Institute (MPI) pada 1989, yang dijadikan sebagai garis panduan oleh Jabatan Penerangan.

Maka, agak membingungkan kenapa kerajaan mengeluarkan kod etika di saat Majlis Media Malaysia sepatutnya ditubuhkan tahun ini, dengan rang undang-undang (RUU) akan dibawa ke Parlimen pada Julai ini.

Rangka RUU Majlis Media menyatakan yang majlis itu akan diberi kuasa merangka kod etika sendiri untuk wartawan.

Kerajaan dan Jabatan Penerangan boleh saja menggunakan kod Majlis Media sebagai garis panduan mereka.

Sebaliknya, kod etika daripada Majlis Media dianggap seperti kurang penting.

Malah, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil membayangkan kod etika Majlis Media pada hakikatnya tidak akan diambil kira dalam soal bagaimana kerajaan berurusan dengan media.

Dalam hal ini, Malaysiakini melihat kerajaan kurang jujur dalam usaha memberdaya media untuk melakukan kawal selia kendiri.

Malaysiakini juga memandang serius tentang kurangnya garis panduan yang jelas dalam membuat rayuan, jika ada organisasi media yang dilihat kerajaan atau Jabatan Penerangan sebagai melanggar kod etika.

Kami juga ingin membangkitkan yang sementara bahasa yang digunakan dalam kod etika tampak tidak berbahaya, begitu juga halnya dengan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diperkenalkan pentadbiran Najib Razak ketika kemuncak skandal 1MDB.

Sepertimana akta itu yang kini sudah dimansuhkan, Malaysiakini bimbang kerajaan - sama ada kerajaan hari ini mahupun di masa akan datang - akan menggunakan kod etika tersebut untuk menyekat kritikan yang sah dan menghukum organisasi media yang tidak tunduk pada naratif rasmi.

Sudah banyak kali pihak dalam kerajaan menuduh media memutar belit, menyebarkan kepalsuan atau bersikap berat sebelah apabila pihak itu berdepan dengan dakwaan salah laku.

Malah, tindakan mendedahkan ketidakadilan ada kala boleh menyebabkan media dilabel sebagai bersikap rasis terhadap pihak yang didakwa melakukan ketidakadilan tersebut.

Kerisauan seumpama ini bukanlah tidak berasas.

Pada Mac 2023, Fahmi menuduh Berita Harian membuat fitnah apabila ia melaporkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka akan dinaikkan pada Julai tahun itu. OPR kemudian dinaikkan pada Mei tahun itu.

Kad media amat penting untuk wartawan kerana ia memberi akses terhadap acara dan program utama seperti sidang parlimen dan sidang media menteri.

Malaysiakini memahami erti tidak memiliki akses ini, memandangkan kerajaan pernah sewenang-wenangnya memutuskan untuk tidak mengeluarkan kad media kepada wartawan kami selama hampir sedekad.

Hanya pada Julai 2008 Malaysia dan media dalam talian lain diperakui kerajaan dan mendapat kad media.

Meskipun begitu, sehinggalah pada 2018, Malaysiakini ada kala tetap tidak diberi akses untuk acara kerajaan dan parti pemerintah, menunjukkan kawalan sewenangnya yang dikenakan ke atas media.

Tiada sebab untuk mewujudkan satu lagi lapisan kawalan atas nama "etika", dan membolehkan Jabatan Penerangan untuk menentukan nasib media Malaysia.

Apa saja kepayahan atau halangan, Malaysiakini tetap melaporkan, dan akan terus melaporkan berita dan pandangan yang penting.

Dan kami akan terus memperjuangkan kebebasan media di Malaysia.