Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Salam’ Isa Samad kepada Zahid Arip tak bermaksud wang - Hakim

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan tiada bukti boleh dipercayai menunjukkan terdapat kod perkataan “salam” antara bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dengan bekas pegawai khasnya Muhammad Zahid Md Arip.

Semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi, Muhammad Zahid yang merupakan saksi pendakwaan ke-21 memberitahu Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa perkataan yang digunakan “salam” daripada Mohd Isa merupakan permintaan untuk dana.

Bagaimanapun, hari ini panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang membebaskan Mohd Isa daripada kesemua sembilan pertuduhan rasuah berkata tiada bukti boleh dipercayai menunjukkan terdapat kefahaman antara perayu (Mohd Isa) dan Muhammad Zahid untuk menggunakan kod perkataan itu.

“Semasa pemeriksaan balas, Muhammad Zahid memberikan bukti bercanggah dalam hal ini. Muhammad Zahid menyatakan perayu memberikan “salam” sebelum setiap transaksi, dia (Muhammad Zahid) kemudian bersetuju perayu tidak memberi “salam” sebagai isyarat sebelum setiap transaksi.

Beliau kemudian menyatakan walaupun menyampaikan “salam” adalah satu corak, ia tidak dimasukkan dalam kenyataan saksinya.

Kami maklum terdapat kewujudan percanggahan dalam jawapan diberi Muhammad Zahid mengenai isu penting tentang penyampaian “salam” daripada Mohd Isa sebagai isyarat pencetus bagi Muhammad Zahid untuk meminta bayaran daripada bekas ahli lembaga pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd Ikhwan Zaidel tidak dinilai dengan teliti oleh hakim perbicaraan,” katanya.

Hakim itu juga menegaskan Hakim Mohd Nazlan seharusnya menilai jawapan Muhammad Zahid semasa pemeriksaan balas berkaitan isu penting ini kerana ia akan banyak membantu hakim perbicaraan untuk memeriksa kebolehpercayaan, ketekalan dan ketepatan testimoninya.

Ini terutamanya apabila Muhammad Zahid berkata jumlah amaun dipersetujui untuk dibayar Ikhwan ialah RM3 juta tetapi amaun yang dinyatakan dalam sembilan pertuduhan adalah selaras, berjumlah lebih daripada RM3 juta dan tiada penjelasan boleh dipercayai diberikan Muhammad Zahid terhadap percanggahan itu.

“Kami mendapati dapatan hakim perbicaraan bahawa terdapat permintaan untuk pembayaran dibuat perayu menerusi Muhammad Zahid dan Ikhwan telah membuat sembilan pembayaran menerusi Muhammad Zahid kepada Mohd Isa yang tidak disokong dengan bukti yang boleh dipercayai.

Bukti menunjukkan Ikhwan membuat sembilan pembayaran kepada Muhammad Zahid tetapi selain daripada bukti lisan daripada Muhammad Zahid, tiada bukti yang menunjukkan perayu telah menerima pembayaran itu daripada Ikhwan,” katanya.

Terdahulu Hakim Vazeer Alam, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim and Datuk SM Komathy Suppiah membebaskan dan melepaskan Mohd Isa daripada kesemua sembilan pertuduhan rasuah melibatkan amaun melebihi RM3 juta dalam pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) in Kuching, Sarawak oleh agensi itu.

- Bernama