Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | Fahami kenapa ibu bapa enggan hantar anak ke sekolah kebangsaan

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Saya meneliti usul yang dikemukakan Pemuda Umno untuk mewujudkan sekolah satu aliran, dalam rangka merealisasikan cita-cita besar memupuk perpaduan dan persefahaman antara masyarakat berbilang kaum di tanah air kita yang tercinta.

Di Malaysia, corak sistem pendidikan yang pelbagai dan memberikan pilihan kepada ibu bapa adalah sebahagian realiti yang mesti diterima. 

Kata kuncinya adalah ‘pilihan’. 

Ini merupakan prinsip asas demokrasi yang tidak memaksakan rakyat dengan satu corak pemikiran, dan meraikan kepelbagaian budaya dan ilmu, yang wujud secara turun temurun dalam fabrik masyarakat. 

Ia malah memupuk identiti budaya yang pelbagai, dan menjadi tunjang kepada identiti Bangsa Malaysia sejak zaman berzaman.

Sebelum Pemuda Umno mengacung tinju ke udara dan berteriak dengan penuh semangat dengan nawaitu murni bagi memupuk perpaduan dan asimilasi; suka saya mencadangkan agar mereka terlebih dahulu memahami apa sebab sekolah vernakular menjadi pilihan sebahagian besar ibu bapa yang mahukan pendidikan berkualiti untuk anak-anak mereka. 

Ini termasuklah mantan ketua pemuda Umno sendiri, Asyraf Wajdi Dusuki.

Pertama, masalah infrastruktur sekolah kebangsaan. Pemuda Umno tentunya lebih menyedari tentang masalah-masalah kemudahan dan infrastruktur yang membebani sekolah-sekolah kebangsaan yang didanai kerajaan, sehinggakan kerajaan ini harus memberi peruntukan khas untuk menambah baik tandas sekolah. Perkara sebegini hampir tidak pernah didengari di sekolah-sekolah vernakular. Dana diraih sendiri, dan masalah infrastruktur diselesaikan sendiri.

Kedua, masalah tenaga pengajar. Kekurangan tenaga pengajar membawa kepada populasi bilik darjah yang padat, dan kemudiannya menyebabkan fokus kedua-dua tenaga pengajar dan para pelajar melayang ke udara.

Ketiga, sukatan pelajaran. Masalah sukatan pelajaran yang berubah-ubah, atau ada masanya langsung tidak berubah dilihat sebagai faktor kegagalan mempersiapkan pelajar untuk mendepani cabaran dunia nyata hari ini.

Keempat, kekurangan sumber. Sekolah-sekolah kebangsaan selalunya berdepan masalah kewangan dan sumber-sumber pengajaran, termasuklah bekalan buku teks, kemudahan makmal, yang menjadi punca utama kurangnya motivasi pelajar untuk ke sekolah, serta merendahkan kualiti pengalaman pendidikan mereka.

Kelima, kesenjangan kualiti pendidikan. Wujud jurang kualiti pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar (pedalaman) dalam struktur pendidikan kebangsaan yang membenih kesenjangan sosioekonomi bersangatan.

Justeru itu, bagi memperbaiki dan memperkukuhkan perpaduan nasional, saya mencadangkan perkara-perkara berikut:

1. Pelaburan infrastruktur: Utamakan kerja-kerja membaik pulih infrastruktur dan kemudahan sekolah-sekolah kebangsaan demi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk proses pendidikan yang berkesan.

2. Pendidikan guru dan pencarian tenaga pengajar mahir: Jalankan program khas untuk menarik minat guru-guru terlatih melalui program latihan dan tawaran gaji yang kompetitif.

3. Keutamaan peruntukan: Pastikan sekolah-sekolah kebangsaan menerima peruntukan kewangan yang mencukupi supaya mempunyai bahan dan kemudahan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan proses pembelajaran dan pengajaran.

4. Pendidikan setara: Jembatani kesenjangan pendidikan bandar-desa demi memastikan bahawa setiap murid menerima pendidikan berkualiti tinggi.

Secara ringkasnya, saya ingin menasihati Pemuda Umno untuk menyedari dan mengambil tahu bahawa sesungguhnya sekolah-sekolah vernakular memperkayakan landskap pendidikan di Malaysia. 

Dan kita juga tidak boleh terlepas pandang usaha-usaha untuk memperbaiki mutu pendidikan kebangsaan. 

Hanya dengan mengiktiraf kepelbagaian ini, mendepani cabaran-cabaran serta kelemahan, dan menangani isu-isu yang dihadapi struktur pendidikan kebangsaan, maka Malaysia akan mampu menyerlahkan bakat-bakat muda demi masa depan yang cemerlang untuk anak-anak kita, serta mempersiapkan mereka untuk mendepani cabaran akan datang.


SYERLEENA ABDUL RASHID ialah anggota parlimen Bukit Bendera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.