MP gesa k'jaan wujudkan peraturan jelas berkenaan pelarian Rohingya
PARLIMEN | Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) menggesa kerajaan mewujudkan peraturan yang jelas berkenaan pelarian Rohingya.
Suhaizan berkata di kawasan parlimennya, lebih 200 pelarian Rohingya tinggal di kawasan-kawasan setinggan yang telah ditinggalkan penduduk tempatan yang berpindah ke program perumahan rakyat (PPR).
"Pulai berpandangan kerajaan tiada dasar dan panduan yang jelas dalam menguruskan pelarian UNHCR (Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian) ini yang menyebabkan ketidakselesaan rakyat.
"Justeru, perlu ada satu peraturan yang jelas untuk menguruskan mereka agar tidak mengganggu keharmonian dan kesejahteraan rakyat," katanya ketika sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Suhaizan, daripada 186,490 pelarian di bawah UNHCR di Malaysia, seramai 108,310 orang adalah daripada etnik Rohingya.
Malaysia turut menempatkan pelarian dan pencari suaka dari 50 negara, antaranya Myanmar, Syria, Afghanistan dan Iran.
Walaupun dengan jumlah pelarian yang ramai, Malaysia tidak menyertai Konvensyen Berkaitan Status Pelarian 1951 mahupun protokol 1967 yang berkaitan dengan konvensyen itu.
Ini bermakna di Malaysia, pelarian yang tidak memiliki visa yang sah dianggap sebagai "pendatang asing tanpa dokumen" dan dinafikan hak asasi seperti pekerjaan dan pendidikan.
'Tanpa sebarang sekatan'
Sementara itu, Suhaizan mendakwa pelarian Rohingya di Pulai telah mendirikan penempatan sendiri dengan bekalan air, elektrik, kedai runcit, kedai makan dan madrasah "tanpa sebarang sekatan".
"Mereka bergerak bebas dan ada kenderaan sendiri. Mereka boleh buang sampah sesuka hati, terutama di sungai yang berdekatan.
"Kehadiran mereka mengancam kehidupan rakyat di negara ini," dakwanya lagi.
Suhaizan membangkitkan kes tiga anggota Geng Rantau Fiesta, yang merupakan etnik Rohingya, yang ditembak mati di Selayang, Selangor pada Disember tahun lalu.
Dia berkata lagi, Malaysia telah telah menerima pelarian dengan "penuh ehsan" memandangkan tiada negara ketiga yang sanggup menerima mereka.
Menurut takrifan PBB, pelarian adalah orang yang dipaksa meninggalkan negara asal atas sebab penindasan, perang atau keganasan.
Ia termasuk penindasan atas dasar etnik, puak atau agama, pegangan politik dan seksualiti.
Kajian oleh UNHCR mendapati 60 peratus pelarian dewasa di Malaysia memiliki pekerjaan, kebanyakannya dalam sektor tidak formal.
Namun menurut kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa pada 2019, pekerjaan tidak formal itu membuka risiko kepada pelarian, seperti menjadi mangsa amalan buruh paksa, penahanan dan eksploitasi.
Kajian lain pula menunjukkan kebenaran untuk pelarian menyertai pekerjaan secara sah dapat memberi kesan positif kepada ekonomi negara.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai